JAKKSA tampil bantu mangsa kemalangan di Kampung Beleti

Facebook
WhatsApp
GERALD Empaling (kanan) tampil membantu seorang seorang lelaki berusia 22 tahun, Brandon George di Kampung Beleti, semalam. Foto: JAKKSA

SIMANGGANG: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) tampil menzahirkan keprihatinan terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun, Brandon George, yang sedang menjalani pemulihan selepas terlibat dalam kemalangan.

Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling berkata, pihaknya telah berkunjung ke Kampung Beleti bagi menziarahi Brandon serta melihat sendiri keadaan semasa mangsa yang kini mengalami kesukaran untuk bergerak akibat kecederaan dialaminya.

Menurut beliau, kunjungan tersebut bukan sahaja bertujuan memberikan sokongan moral, malah sebagai usaha membantu meringankan beban Brandon dan keluarganya dalam menghadapi tempoh pemulihan.

“JAKKSA turut menyerahkan bantuan berupa ubat-ubatan serta sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan beliau sepanjang menjalani pemulihan,” katanya.

Gerald berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti bentuk bantuan lain yang bersesuaian bagi membantu Brandon dan keluarganya, khususnya dalam menghadapi keadaan semasa.

Katanya, Brandon kini tidak dapat bekerja susulan kecederaan yang dialami dan terpaksa bergantung kepada ahli keluarga untuk meneruskan kehidupan bersama isteri serta anak mereka yang baru berusia dua tahun.

“Keadaan ini tentunya memberi cabaran kepada keluarga beliau dan kita berharap bantuan yang disalurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

JAKKSA turut berharap Brandon diberikan kesembuhan segera serta dapat kembali menjalani kehidupan dan melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas pulih daripada kecederaan tersebut.

Oleh Adi Safarman