DALAT: Pihak pengurusan Taska St. Anthony di sini telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan kerja sanitasi pada premisnya semalam.
Ia adalah demi keselamatan warganya berikutan kebenaran kerajaan untuk Taska di seluruh negara beroperasi semula setelah ditutup semenjak Mac tahun ini.
Menurut Sr. Mary Jean selaku pengurus taska tersebut, mereka merasa lega kerana Taska telah dibenarkan beroperasi.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Mukah (BBP Mukah) kerana menjalankan disinfeksi di premis Taska sebelum beroperasi seperti biasa dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang termaktub.
“Tahun ini kita mempunyai seramai 15 kanak-kanak di sini. Dan oleh kerana pemberhentian sementara operasi semenjak PKP dahulu, saya tak pasti sama ada mereka akan datang semua bila kita buka semula kelak,” ujarnya.
Tambahnya, pada tahun lepas pusat pendidikan awal yang berada bersebelahan dengan biara St. Anthony itu mempunyai lebih daripada 20 kanak-kanak.
“Kita mempunyai empat staf yang terlibat dalam mengendalikan taska ini, dan pada tahun lepas, kita mempunyai lebih daripada 20 kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Taska tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo pada 2014.
Pada masa yang sama, pihak bomba yang terlibat turut menjalankan kerja sanitasi pada bangunan biara St. Anthony bersebelahan dengan taska tersebut.
Sementara itu, PBK II Abu Hady Harry yang mengetuai operasi nyahkuman menjelaskan pada pagi tersebut, mereka juga melakukan disinfeksi di sebuah lagi struktur berdekatan.
“Kerja disinfeksi ini merangkumi anggaran keluasan 300 meter persegi iaitu tiga struktur, bangunan Taska, biara dan sebuah lagi bangunan kecil di belakang Taska. Untuk makluman, operasi ini melibatkan tujuh anggota. Selepas nyahkuman, kita akan mengadakan taklimat sebagai panduan pihak Taska ini menjalankan apa yang sesuai dengan SOP yang ditetapkan terutama dari segi sanitasi kendiri,” ujarnya.
Biara (St. Anthony Convent) itu adalah di antara bangunan lama yang masih berdiri utuh di daerah ini iaitu dibina pada 1961.
Ia berlokasi di sebelah bangunan lama Gereja St. Peter & Paul Mukah yang kini berusia lebih daripada 125 tahun.