SHEILA ZAIDI
KUCHING: Jumlah tangkapan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak meningkat kepada 35 orang dalam tempoh 24 jam dari jam lapan pagi Isnin sehingga lapan pagi semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata jumlah tersebut didapati meningkat berbanding tempoh sama pada Isnin yang hanya merekodkan 26 tangkapan.
“Berdasarkan laporan, Sibu mencatat tangkapan paling tinggi iaitu lapan orang, diikuti tujuh orang di Kota Samarahan, enam di Kuching, lima di Padawan, empat di Sarikei, tiga di Miri, dan masing-masing seorang di Bintulu dan Julau.
“Jumlah tangkapkan ini menjadikan jumlah keseluruhan bermula lapan pagi pada 18 Mac sehingga semalam adalah seramai 487 orang,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Aidi, daripada jumlah tersebut seramai 312 orang suspek telah didakwa di mahkamah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian) 2020 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Katanya, 282 daripada suspek mengaku bersalah, manakala 19 lagi tidak mengaku bersalah.
Sementara seramai 93 daripada suspek telah dijatuhkan hukuman penjara, 72 dipenjara dan denda, manakala 85 lagi didenda, ujarnya.
Selain itu, kata Aidi, terdapat juga suspek yang mengaku bersalah dan masih menunggu laporan akhlak.
Walaupun terdapat peningkatan dari segi tangkapan, keadaan keselamatan di Sarawak masih berada di dalam keadaan yang terkawal dengan kadar pematuhan PKP adalah di tahap PKP 96.3 peratus, katanya.
Semua agensi-agensi yang terlibat dengan operasi PKP terus melaksanakan kawalan dan pemantauan di negeri Sarawak bagi mengekang penyebaran Covid-19, ujar Aidi.