


LAWAS: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 24 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, tangkapan dilakukan di bandar Lawas pada petang 3 Mei 2026.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai satu kesalahan lampau manakala seorang lagi tiada rekod kesalahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pada petang 30 April 2026, polis menerima laporan daripada seorang warga emas berusia 74 tahun dari Trusan, Lawas.
Pengadu memaklumkan cucu lelakinya berusia 13 tahun dipukul oleh bapa angkatnya, yang juga anak kepada pengadu. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Lawas untuk rawatan lanjut.
Bertindak atas laporan itu, pada 3 Mei 2026 sekitar 1.15 petang, sepasukan polis menahan suspek di tempat kerjanya di sebuah jabatan kerajaan di Lawas bagi membantu siasatan.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan rekod lampau menunjukkan suspek mempunyai tiga kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus