Tangani beban guru secara holistik, perkasa sistem sokongan

Facebook
WhatsApp
BEBAN GURU... Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohammad Faiz Ikhlas berkata isu beban tugas guru perlu ditangani secara holistik menerusi pemerkasaan skop tugas, penambahan tenaga pengajar dan penyediaan sistem sokongan yang mampan bagi menjamin kesejahteraan pendidik. Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Isu beban tugas guru perlu ditangani secara holistik dan berterusan menerusi pemerkasaan skop tugas serta penyediaan sistem sokongan mampan, bagi memastikan kesejahteraan mental dan fizikal golongan pendidik terus terpelihara.

Sehubungan dengan itu langkah memperkemas tugasan pentadbiran, menambah tenaga pengajar serta menyediakan sistem sokongan yang mampan adalah kritikal, bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental golongan itu tidak terus terabai.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohammad Faiz Ikhlas berkata beban tugas guru sememangnya wujud dan antara lain, disebabkan pengisian data yang terlalu banyak, sistem kemasukan data dalam talian yang kurang stabil, isu disiplin murid serta arahan tugasan di luar waktu bekerja.

Beliau berkata tekanan untuk mencapai sasaran prestasi sekolah sering kali memaksa guru “mencuri” waktu rehat sehingga lewat malam, sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan peribadi dan keluarga mereka.

“Sebahagian guru mengalami tekanan perasaan, rasa takut, malah ada yang mengalami kelesuan atau burnout. Ia turut memberi kesan kepada kualiti pengajaran dan kehidupan peribadi mereka secara langsung,” katanya kepada Bernama.

Mohammad Faiz berkata antara faktor lain yang menyumbang kepada tekanan ialah tugasan luar, seperti melatih murid untuk pertandingan pada hujung minggu, selain kekangan kewangan yang memaksa guru mencari dana sendiri, demi memastikan penyertaan sekolah.

Mengulas kejadian melibatkan kematian seorang guru baru-baru ini, beliau menyarankan agar isu beban tugas ini diberi perhatian serius dan memuji langkah Kementerian Pendidikan (KPM) mengehadkan mesyuarat pembukaan sekolah kepada maksimum dua hari, bermula sesi 2026.

Beliau berkata inisiatif lain seperti pelantikan pengawas peperiksaan dalam kalangan orang awam, pemansuhan acara berimpak rendah serta pemberian autonomi dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), adalah langkah tepat bagi mengurangkan beban golongan itu.

Dalam pada itu, Mohammad Faiz berkata usaha mengurangkan beban guru perlu disertai langkah konkrit dan berpanjangan, termasuk memperluas pelantikan pembantu guru berdasarkan keperluan sekolah, serta menambah pengambilan guru baharu bagi mengisi kekosongan perjawatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata sudah tiba masanya KPM mewartakan skop tugas guru secara jelas, mengikut jawatan dan gred.

“Sudah tiba masanya KPM mewartakan apakah sebenarnya skop tugas seorang guru, supaya guru-guru jelas apakah skop tugas mereka,” katanya.

Anuar berkata pengurangan beban tugas juga perlu dilaksanakan secara berperingkat termasuk mengurangkan jumlah murid dalam kelas, penambahan tenaga guru serta menyediakan sistem sokongan yang lebih efisien di sekolah.

Beliau berkata penjelasan skop tugas guru bukan sahaja penting untuk pendidik, malah perlu difahami pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), ibu bapa dan masyarakat, supaya guru dapat kembali memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran serta interaksi dengan murid.

“Kalau guru dibebankan dengan tugas bukan pengajaran, mereka terbeban dan kesejahteraan guru juga akan terjejas dan kesan akhirnya adalah kepada murid-murid kita,” katanya. – Bernama