BELADIN, 16 November: Penduduk Kampung Semarang kini mempunyai prasarana ibadah yang lebih selesa menerusi pembukaan Masjid Baharu Kampung Semarang yang disempurnakan pada Jumaat lalu.
Majlis prapembukaan masjid berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdul Rahman Junaidi.
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Datu Mual Suaud serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.
Menurut kenyataan JAIS, pembukaan masjid baharu itu merupakan satu perkembangan bermakna dalam usaha menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada masyarakat setempat.
Selain menjadi tempat menunaikan solat, masjid berkenaan turut berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, pengembangan ilmu serta pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Kewujudan prasarana tersebut diharap dapat menggalakkan masyarakat setempat untuk terus mengimarahkan masjid melalui pelbagai program ibadah, pengajian ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.
JAIS turut berharap masjid berkenaan menjadi wadah untuk menyemai ukhuwah, memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan penduduk Kampung Semarang dan kawasan sekitarnya.
Pembukaan masjid itu sekali gus menandakan satu lagi kemudahan penting dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam setempat, khususnya dalam memperkukuh pembangunan institusi masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti.
Oleh Adi Safarman



