Penutupan lorong Jalan Stutong wajar ditangguh hingga cuti sekolah – Michael Kong

Facebook
WhatsApp
GAMBAR menunjukkan lokasi dan laluan penutupan sementara satu lorong di Jalan Stutong (Stutong Link Road) seperti yang dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

KUCHING, 16 November: Penutupan satu lorong di Jalan Stutong dicadangkan supaya ditangguhkan sehingga cuti akhir tahun persekolahan bermula bagi mengurangkan gangguan trafik, khususnya kepada ibu bapa dan pengusaha pengangkutan sekolah.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian berkata, cadangan itu dikemukakan bagi mengelakkan kesesakan tambahan di laluan berkenaan yang sememangnya sibuk, terutama pada waktu puncak.

Menurutnya, penutupan satu daripada dua lorong sedia ada di Jalan Stutong (Stutong Link Road), berhampiran SJK Chung Hua No. 2, dari 13 November hingga 12 Disember berpotensi menjejaskan kelancaran trafik walaupun kerja-kerja berkenaan hanya dijadualkan dari 7.00 malam hingga 5.00 pagi setiap hari.

Beliau berkata, pengurangan kapasiti jalan di laluan itu boleh menambahkan kesulitan kepada pengguna, justeru Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan kontraktor yang dilantik perlu mempertimbangkan kesan pelaksanaan kerja berkenaan terhadap orang ramai.

Katanya, cuti akhir tahun persekolahan yang dijadual bermula pada 5 Disember dijangka mengurangkan jumlah kenderaan di kawasan sekitar sekolah, sekali gus menyediakan tempoh lebih sesuai untuk kerja-kerja berkenaan dilaksanakan.

“Jika penutupan lorong itu benar-benar diperlukan, saya menggesa JKR Sarawak dan kontraktor berkaitan supaya mempertimbangkan semula jadual pelaksanaannya dan, jika boleh, menangguhkan penutupan tersebut sehingga selepas 5 Disember,” katanya.

Kong berkata, pelaksanaan kerja ketika cuti sekolah dapat membantu mengurangkan gangguan kepada ibu bapa, pengusaha pengangkutan sekolah, penduduk setempat dan pengguna jalan raya lain.

Beliau berharap JKR Sarawak dapat menyemak semula jadual berkenaan bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan pada tempoh yang lebih sesuai tanpa menjejaskan kelancaran trafik secara berlebihan.

Oleh Connie Chieng