PUSA: Empat keluarga yang mendiami empat rumah di Kampung Tengah Tambak diarahkan berpindah dari rumah mereka selepas rumah yang mereka diami terjejas akibat kejadian tanah runtuh, dekat sini petang semalam.
Kejadian itu turut menjejaskan sebuah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kebajikan Masyarakat (KEMAS) di kampung terbabit.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PBK I Henry Ak Jugah berkata pihaknya terpaksa mengarahkan penghuni di empat buah rumah untuk mengosongkan kediaman mereka selepas kejadian tersebut atas faktok keselamtan.
Beliau berkata kejadian yang berlaku sekitar jam 3.00 petang itu telah melibatkan seramai 29 mangsa terdiri daripada empat keluarga terlibat.
Katanya, kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada fenomena air pasang besar yang melibatkan jarak lebih kurang 30 meter dari tebingan Sungai Rimbas dan kira-kira 1.5 meter jarak dari rumah mangsa.
“Pusat Pemindahan Bencana Tanah Runtuh telah diaktifkan sejak 9.00 pagi semalam yang menempatkan seramai 29 mangsa daripada empat buah rumah tersebut.
“Penghuni empat buah rumah itu diarah mengosongkan kediaman buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan,” katanya kepada pemberita semalam.
Henry berkata empat buah rumah di Kampung Tengah Tambak Pusa itu di dapati terkena hakisan tanah yang berlaku berdekatan Sungai Tambak.
Beliau berkata setakat 6.00 petang semalam, tiada pergerakan tanah dikesan.
Bagaimanapun, katanya bomba akan sentiasa berada di lokasi kejadian untuk menjamin keselamatan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.