MUKAH: Taman Kala Dana kira-kira dua kilometer dari pusat bandar ini terus menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah pada hujung minggu.
Tapak perayaan tahunan terbesar etnik Melanau `Pesta Kaul Mukah’ itu yang berada di tepi pantai mempunyai pelbagai struktur dan dataran yang luas.
Selain pemandangan yang cantik, ia juga mempunyai tarikan tersendiri terutama bila matahari terbenam pada waktu senja.
Sejak awal tahun ini, pihak berkuasa tempatan membenarkan peniaga untuk berniaga di situ.
Notis membenarkan operasi penjaja tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) pada akhir tahun lalu.
Semua peniaga yang berminat untuk menjalankan perniagaan diwajibkan untuk berdaftar dengan pihak MDDM dan perlu memenuhi syarat kesihatan yang telah ditetapkan.
Pada masa sama, semua peniaga dan pengunjung adalah diwajibkan untuk menjaga kebersihan kawasan riadah itu demi menjaga keindahan tapak rekreasi dan taman awam.
Oleh Henry b Siyu