Lelaki hilang ketika ke kebun, operasi SAR ditangguh

Facebook
WhatsApp
PASUKAN SAR menjalankan operasi mencari lelaki yang dilaporkan hilang di sekitar kawasan kebun dan sungai di Kampung Fairy Lorong 5, Bau, dengan dibantu anggota polis, APM dan penduduk setempat, hari ini.

BAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam di Kampung Fairy Lorong 5, di sini, ditangguhkan pada 5.30 petang tadi selepas mangsa masih belum ditemukan.

Mangsa, Clement Chimiet Condos, dilaporkan hilang dari kebun milik keluarganya pada 10.00 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, PKPgB Zainudin Ngatdemon berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.25 tengah hari sebelum tiba di lokasi enam minit kemudian.

PASUKAN SAR menjalankan pencarian di kawasan bukit dan sungai bagi mengesan lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Fairy Lorong 5, Bau.

Beliau berkata, operasi SAR hari pertama dimulakan pada 2.00 petang dengan pasukan pencarian dibahagikan kepada dua seksyen, membabitkan kawasan sungai dan bukit.

“Seksyen A di bahagian sungai melibatkan tiga anggota bomba dan tiga orang awam, manakala Seksyen B di bahagian bukit membabitkan tiga anggota bomba, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 11 anggota polis dan dua orang awam.

“Operasi ditangguhkan pada 5.30 petang kerana keadaan semakin gelap dan akan disambung semula pada 6.00 pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak bomba turut mendapatkan maklumat berkaitan mangsa dan lokasi kejadian daripada pihak polis, bapa mangsa, penghulu, ketua kampung serta penduduk setempat sebagai panduan operasi pencarian.

CLEMENT Chimiet Condos, 29, dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun milik keluarganya di Kampung Fairy Lorong 5, Bau, sejak semalam.

Katanya, permohonan bantuan anjing pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dibuat dan operasi pengesanan dijadualkan bermula esok.

Operasi berkenaan membabitkan tujuh anggota BBP Bau dengan sokongan 11 anggota polis, empat anggota APM serta orang awam.

Oleh Afiq Sallehi