KUALA LUMPUR: Bursa Niaga hadapan Taiwan (TAIFEX) dan Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama perniagaan yang memberi manfaat bersama.
Kedua-dua pihak akan berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik mengenai pembangunan produk, operasi produk dan bidang yang menjadi kepentingan bersama oleh kedua-dua pasaran itu, kata TAIFEX dan BMD dalam kenyataan bersama semalam.
TAIFEX mempunyai reputasi baik dalam derivatif indeks ekuiti, manakala BMD mempunyai niaga hadapan minyak sawit mentah yang paling tinggi di dunia.
“Dengan pertukaran pengalaman dan perkongsian maklumat dan sumber, saya yakin kerjasama ini boleh mewujudkan sinergi dan mewujudkan laluan ke arah pembangunan selanjutnya bagi kedua-dua pasaran itu,” menurut Presiden TAIFEX Bing-Jing Huang.
Sementara itu, Pengerusi BMD, Datuk Muhamad Umar Swift berkata MoU itu merupakan langkah positif yang akan menyumbang ke arah pembangunan pasaran derivatif Asia.
“Ia sejajar dengan strategi pengantarabangsaan kami yang akan memudahkan kerjasama dari segi pembangunan produk dan pasaran di samping mewujudkan peluang bagi kedua-dua bursa saham ini. Kami berharap MoU ini akan meletakkan asas kepada hubungan kukuh dan bermanfaat antara BMD dan TAIFEX,” katanya.
TAIFEX yang ditubuhkan pada 1997 adalah bursa saham niaga hadapan tunggal Taiwan yang menyediakan pelbagai rangkaian niaga hadapan dan opsyen ekuiti, indeks ekuiti, pertukaran asing dan komoditi, termasuk satu daripada opsyen ekuiti yang paling banyak didagangkan di dunia, opsyen TAIEX.
BMD adalah anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Bhd yang menyediakan, mengendalikan dan mengekalkan niaga hadapan dan opsyen bursa saham.- Bernama