KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa berikutan pelabur mengambil keuntungan dalam beberapa saham wajaran tinggi terpilih berikutan ketiadaan petunjuk daripada Wall Street susulan cuti Hari Buruh di Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.89 mata atau 0.16 peratus kepada 1,711.90 daripada 1,714.79 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 1.65 mata kepada 1,713.14.
Bagaimanapun sentimen pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 154 berbanding 144 manakala 316 kaunter tidak berubah, 2,185 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 417.63 juta saham bernilai RM152.17 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun Wall Street ditutup, gambaran awal berdasarkan kontrak niaga hadapan Dow Jones Industrial Average (DJIA) menunjukkan indeks itu telah susut 300 mata berikutan ketegangan perdagangan antara Kanada dan AS.
Beliau berkata beberapa pasaran serantau bertindak balas secara negatif terhadap data pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan berikutan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bulan ini.
Di pasaran tempatan, pelabur kembali mengumpul saham mewah yang mengalami tekanan jualan sejak kebelakangan ini.
“Sentimen keseluruhan masih berhati-hati seperti yang ditunjukkan menerusi jumlah dagangan harian yang lebih rendah, iaitu di bawah empat bilion saham.
“Dengan pelbagai cabaran yang melanda, kami yakin fasa konsolidasi yang sedang berlaku akan berterusan dan menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,720 hari ini,” kata Thong kepada Bernama.
Sementara itu, minyak mentah Brent kekal kukuh pada US$97 setong manakala hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun berada pada paras 4.78 peratus.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM10.56 dan RM7.98, Public Bank rendah satu sen kepada RM4.99 manakala Tenaga meningkat dua sen kepada RM13.86 dan IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM7.93.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI meningkat 2.5 sen kepada 29.5 sen, HHRG susut satu sen kepada 19.5 sen, TWL rendah setengah sen kepada dua sen manakala Kinergy tidak berubah pada 40 sen.
Syarikat yang baru disenaraikan di Pasaran ACE GTA Holdings naik setengah sen kepada 35.5 sen. Harga saham itu dibuka mendatar pada 35 sen dengan 106,509 saham diniagakan.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Telekom meningkat sembilan sen kepada RM7.99, Hong Leong Financial menokok lapan sen kepada RM18.90 manakala ITMax System, Vitrox dan Malayan Cement masing-masing naik enam sen kepada RM4.31, RM9.10 dan RM6.09.
Bagi kaunter paling rugi, Petronas Gas susut 18 sen kepada RM17.52, United Plantations merosot 16 sen kepada RM32.04 manakala MISC, Allianz Malaysia dan Hong Leong Bank masing-masing turun lapan sen kepada RM7.69, RM21.30 dan RM23.58.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 1.20 mata kepada 17,778.06 manakala Indeks FBM ACE menokok 13.81 mata kepada 5,272.12.
Indeks FBM Emas susut 13.95 mata kepada 12,646.54, Indeks FBM Top 100 turun 15.56 mata kepada 12,451.49 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 4.04 mata kepada 12,406.49.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 38.20 mata kepada 20,150.54 manakala Indeks Perladangan turun 6.14 mata kepada 9,382.54.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.54 mata kepada 186.42 dan Indeks Tenaga turun 0.81 mata kepada 808.40.- Bernama





