
SIMANGGANG: Simpati dengan nasib sebuah keluarga di Kampung Hilir Simanggang yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran tengah hari semalam, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Kawasan Ladong melancarkan Tabung Bencana Kebakaran untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai.
Pemanca Abang Norin Abang Norudin menjelaskan, Tabung Bencana Kebakaran itu ditempatkan di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang bermula hari ini sehingga Isnin ini untuk memberi peluang kepada orang ramai supaya tampilmemberi sumbangan.
“Jadi, saya mewakili KMKK Kawasan Ladong berharap agar orang ramai akan dapat sama-sama membantu memberi sumbangan untuk tabung yang akan dilancarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin bagi membantu penduduk terbabit yang dilanda musibah,” katanya.
Inisiatif itu bagi membantu meringankan beban ditanggung keluarga mangsa yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dijilat api tengah hari semalam.
Katanya, KMKK Kawasan Ladong sedia membantu bagi meringankan beban dan masalah yang dihadapi mangsa kebakaran terbabit dengan mengumpul bantuan daripada orang ramai.
Selain itu, Majlis Jawatankuasa Rekreasi Sosial KMKK Islam Bahagian Sri Aman turut melancarkan kutipan derma kilat daripada 32 JKKK di bahagian itu bermula malam tadi.
“Oleh itu, saya memohon kepada semua pengerusi JKKK diminta untuk menyumbang kepada kutipan derma ini bagi membantu mangsa kebakaran sebelum ia diserahkan kepada mangsa kebakaran pada 9.00 pagi hari Isnin nanti.
Turut hadir, Temenggung Mohamad Shah Achang, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Ahmad Noorkamal Abdul Malek, Penghulu Rosli Ana serta ketua kampung kawasan Ladong.
OLEH ADI SAFARMAN