Taanusiya dedikasi kejayaan tempat ketiga di Miss World buat rakyat Malaysia

Facebook
WhatsApp
RATU MALAYSIA... Taanusiya Chetty mengharumkan nama Malaysia selepas merangkul tempat ketiga dan dinobatkan sebagai Miss Asia pada pertandingan Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam, semalam. Foto Taanusiya Chetty

KUALA LUMPUR: Kejayaan merangkul tempat ketiga Miss World 2026 dan dinobatkan sebagai Miss Asia di pentas berprestij Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam malam tadi, bukan sekadar pencapaian peribadi Taanusiya Chetty, malah menjadi hadiah istimewa buat seluruh rakyat Malaysia.

Anak jati Kuala Lumpur berusia 26 tahun yang mesra disapa Taanu itu menyifatkan sokongan moral dan doa tanpa henti daripada seluruh warga Malaysia sebagai ‘senjata’ utama kejayaannya mengulangi pencapaian yang pernah dilakar 28 tahun lalu.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyokong Taanu sepanjang pertandingan Miss World di Vietnam ini. Taanu bersyukur sangat dapat cipta sejarah kali kedua untuk negara tercinta.

“Sebab 28 tahun lepas kita pernah dapat 2nd runner-up juga, dan selepas sekian lama, inilah satu lagi sejarah untuk tanah air kita. Terima kasih Malaysia sokong dan percaya kepada saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada acara kemuncak pertandingan akhir Miss World itu, Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika dinobatkan sebagai juara, manakala Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol meraih tempat kedua.

TAANUSIYA Chetty tampil anggun pada pertandingan Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam, semalam. Foto Taanusiya Chetty

Taanusiya melayakkan diri ke kelompok enam terbaik selepas menjuarai segmen Beauty With A Purpose (BWAP), iaitu antara komponen paling penting dalam pertandingan itu, selepas mengetepikan wakil Zimbabwe, Brunette Makanyiso.

Sebagai acara berteraskan kebajikan dalam Miss World, BWAP memberikan tumpuan kepada peserta yang memperjuangkan projek kemanusiaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan di negara masing-masing.

Susulan kemenangan itu, Taanusiya akan menyertai Dominguez untuk menjelajah ke seluruh pelosok dunia bagi menjalankan pelbagai tugasan kemanusiaan dan berkaitan.

Tampil anggun dalam persalinan merah jambu hasil rekaan pereka fesyen Vietnam, Minh Tuan Couture, Taanusiya memukau juri dalam sesi soal jawab kelompok enam terbaik menerusi jawapan bernas mengenai tanggungjawab melindungi alam sekitar.

Dalam jawapannya, Taanusiya mengaitkan profesionnya sebagai guru yang membantunya menekankan kepentingan memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam seawal usia persekolahan melalui aktiviti menanam pokok bagi mendidik kanak-kanak mengenai nilai pertumbuhan, kesabaran dan tanggungjawab.

Taanusiya berkata peranannya sebagai pendidik memberikan ruang kepadanya untuk memupuk kesedaran alam sekitar seawal usia persekolahan, khususnya menerusi aktiviti menanam pokok.

KENANGAN BERSAMA… Taanusiya Chetty bergambar bersama pemenang dan peserta Miss World 2026 dari negara lain pada pertandingan berkenaan di Nha Trang, Vietnam. Foto Taanusiya Chetty

“Itu juga merupakan tanggungjawab untuk mereka percaya tumbuhan turut memerlukan masa untuk membesar daripada benih yang mereka semai. Bayangkan anda sedang menyusuri jalan yang penuh dengan ribut petir tanpa ada sesiapa yang sudi menghulurkan payung.

“Saya mahu menjadi guru yang sebegitu yang menawarkan sokongan kepada para pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka, benih yang mereka semai memerlukan masa untuk membesar. Apabila anda berbuat demikian, anda akan memberikan inspirasi kepada ramai orang di seluruh dunia,” katanya.

Aksi cemerlang Taanusiya bukan sahaja memikat hati juri, malah dihujani pujian warganet serta peminat ratu cantik dari dalam dan luar negara yang teruja dengan kebijaksanaan dan cara beliau membawa imej Malaysia dengan anggun di persada antarabangsa.

Kejayaan Taanusiya menduduki tempat ketiga menyamai pencapaian terbaik Malaysia yang pernah dilakar oleh Lina Teoh pada 1998, di samping mengembalikan nama negara ke kelompok tiga terbaik dunia selepas penantian selama 28 tahun.

Sebelum ini, Taanusiya menarik perhatian ramai apabila fasih bertutur dalam empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, ketika sesi Head-to-Head Challenge bagi benua Asia dan Oceania pada 23 Ogos lalu.

Beliau juga aktif mempromosikan inisiatif kemasyarakatan menerusi Be The Change Malaysia yang turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada misi advokasinya. – Bernama