SIBU: Kerajaan Negeri jimat RM1.2 juta selepas Kumpulan Syarikat Hock Peng bermurah hati untuk menanggung penginapan 1,133 pelajar yang dikuarantin di dua buah hotel milik organisani berkenaan di Terminal Bas Sibu di sini.
Residen Bahagian Sibu Charles Siaw berkata, jumlah itu adalah penginapan untuk 202 bilik selama 46 hari tanpa sebarang caj dari 2 Mei hingga 16 Jun lalu.
Ia adalah termasuk tajaan makanan halal sebanyak tiga kali sehari kepada pelajar,
“Sebab itu, saya mewakili Kerajaan Negeri ingin merakam setinggi penghargaan kepada Kumpulan Syarikat Hock Peng, terutama kepada pengarah urusannya, Datuk Toh Chiew Hock, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Hock Peng, Pemanca Datuk Francis Toh Chiew Peng, serta Pengarah Hotel Li Hua dan Hotel Medan, Toh Leh Bin.
“Kedua-dua hotel menyediakan kemudahan yang moden dan selesa kepada pelajar kita,” katanya kepada pemberita sebelum menyaksikan pelaksanaan proses nyah cemar ke atas kedua-dua hotel berkenaan, semalam.
Proses sanitasi dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah.
Semalam merupakan hari terakhir kedua-dua hotel tersebut beroperasi sebagai pusat kuarantin sementara untuk pelajar yang pulang ke rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan yang telah ditetapkan, Charles memberitahu bahawa, kemudahan hotel termasuk perkhidmatan penerimaan, sanitasi, pembersihan dan dobi dikendalikan oleh kakitangan yang terlatih dan berpengalaman dari pelbagai agensi, iaitu Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam , Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Kami gembira untuk memaklumkan bahawa sepanjang tempoh kuarantin tidak ada kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan pelajar atau kakitangan sokongan kami.
“Kami dapat memberi jaminan bahawa kedua-dua hotel ini selamat untuk menyambut tetamu hotel baharu,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad