PETRA JAYA: Sejarah Sarawak perlu dikaji berdasarkan sumber yang sahih bagi memastikan fakta berkaitan warisan dan pembentukan negara bangsa dapat difahami dengan tepat oleh generasi kini dan akan datang.
Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Ahmad Sukri Abdul Kadir berkata, masyarakat tidak boleh hanya bergantung pada ingatan, cerita atau tafsiran semata-mata dalam memahami sejarah.
“Saya percaya bahawa masih banyak bahan dan sumber sejarah Sarawak yang boleh diterokai dan diteliti dengan lebih mendalam,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, persidangan yang berlangsung selama dua hari itu menjadi platform perkongsian ilmu dalam kalangan ahli akademik, penyelidik dan pengkaji sejarah untuk membincangkan naratif serta fakta baharu mengenai sejarah Sarawak.
Katanya, antara objektif persidangan adalah memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan sejarah dan warisan negara yang berteraskan fakta, perundangan serta bukti kajian yang berautoriti.
“Semoga persidangan ini mampu membuka ruang kepada penemuan dan pemahaman baharu perjalanan sejarah Sarawak dalam usaha untuk memperkayakan sumber sejarah negara,” katanya.
Ahmad Sukri berkata, persidangan itu turut menggalakkan pengkajian baharu dan penggunaan bahan arkib serta dokumen sejarah sebagai rujukan utama dalam memahami warisan dan pembentukan negara bangsa.
Beliau berkata, hasil pembentangan dan rakaman persidangan akan disimpan secara kekal di Arkib Negara Malaysia untuk kajian dan penyelidikan generasi kini serta akan datang.
Persidangan itu merangkumi lima sesi pembentangan kertas kerja dengan subtema Sejarah Awal Sarawak, Sejarah dan Perjuangan Nasionalisme Sarawak, Sejarah Pentadbiran Sarawak dan Federalisme, Sosiobudaya, Etnik dan Warisan Sarawak, serta Ekonomi dan Evolusi Pembangunan Sarawak.
Menurut Ahmad Sukri, penggunaan bahan arkib sebagai rujukan juga selaras dengan fungsi Arkib Negara dalam menggalakkan masyarakat memanfaatkan sumber arkib serta membudayakan amalan merujuk sumber yang sahih dan berintegriti dalam penyelidikan sejarah.
Beliau berkata, masih terdapat banyak bahan dan sumber sejarah Sarawak yang boleh diterokai dengan lebih mendalam menerusi kerjasama antara institusi arkib, universiti, agensi kerajaan dan komuniti masyarakat.
“Sejarah yang kukuh perlu disokong oleh sumber yang sahih,” katanya.
Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 dianjurkan sempena sambutan Jubli Emas Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak yang genap 50 tahun penubuhannya pada tahun ini. Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak ditubuhkan pada 1 Julai 1976.
Oleh Shikin Mahmud





