
ROME: Syarikat fesyen terkemuka Itali, Dolce and Gabbana (D&G) berkata semalam bahawa pihaknya telah melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gucci, Stefano Cantino, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bersama D&G, dalam rangka rombakan pengurusan ketika syarikat itu berusaha untuk membiayai semula hutangnya.
Beliau akan memegang jawatan tersebut bersama Alfonso Dolce, adik kepada pengasas bersama dan pereka D&G, Domenico Dolce, menurut kenyataan syarikat itu.
Alfonso Dolce turut memegang jawatan sebagai pengerusi sejak Januari, mengambil alih peranan tersebut daripada pengurusan terdahulu. Manakala Stefano Gabbana, pengasas bersama jenama itu kekal fokus kepada tanggungjawab kreatifnya.
Cantino ialah seorang veteran industri fesyen yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif jenama mewah pesaing, Gucci.
D&G berkata pelantikan beliau didorong oleh evolusi model organisasi daripada sebuah jenama fesyen kepada sebuah syarikat gaya hidup.
Pada Jumaat, D&G berkata rundingan dengan bank bagi membiayai semula beban hutang yang tinggi masih diteruskan.
Bloomberg menganggarkan hutang tersebut sekitar AS$525 juta dan melaporkan pada Jumaat bahawa Gabbana sedang mempertimbangkan pilihan berkaitan pegangan 40 peratus miliknya dalam syarikat itu.
Banyak jenama fesyen terkemuka telah mengalami tekanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat kemerosotan pasaran barangan mewah.
Dolce and Gabbana merupakan salah satu kolaborasi rekaan paling berjaya dalam dunia fesyen, yang memanfaatkan inspirasi dari masyarakat di sebuah pulau iaitu Pulau Sicily, Itali. Jenama fesyen ini telah banyak menghasilkan rekaan berpotongan kemas dan elegan, yang telah menarik ramai selebriti terkemuka seperti Madonna dan Monica Bellucci. -AFP