

LAWAS: Pasukan SWFC JR (Sabah) menjuarai Pertandingan Bola Sepak Wanita Terbuka sempena Irau Aco Lun Bawang 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Lawas baru-baru ini.
Naib johan menjadi milik pasukan Lun Bawang Krayan (Indonesia) selepas tewas menerusi sepakan penalti 4-5 apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.
Satu lagi pasukan dari negeri Sabah, SWFC Senior (Sabah), menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Mixstorm FT dari Lawas dengan jaringan 2-0.
Pertandingan bola sepak merupakan antara acara yang paling mendapat perhatian daripada peminat sukan bola sepak sepanjang berlangsungnya Irau Aco Lun Bawang.
Pada edisi tahun ini, pertandingan berkenaan menyaksikan penyertaan satu pasukan dari Kalimantan, Indonesia, tiga pasukan dari negeri Sabah dan dua pasukan tempatan dari Lawas.
Oleh Jiku Juguong