FAIZAL BUJANG
KONTINJEN Para Sukma Sarawak mengekalkan reputasi hebat mereka selaku kuasa sukan bagi atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia selepas berjaya muncul juara keseluruhan Sukan Para Sukma XIX, Perak 2018.
Menamatkan saingan dengan penuh bergaya, menggumpul 163 pingat keseluruhan dengan 61 pingat emas, 62 pingat perak dan 40 pingat gangsa.
Sekali gus, gelaran juara ke-13 buat gergasi dari Bumi Kenyalang itu selepas gah dengan status terhebat (juara) itu selama 24 tahun bermula dari 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2012, 2014 dan 2016.
Sekalipun pada temasya tersebut kontinjen Para Sukma Sarawak tidak berupaya mencapai sasaran untuk meraih 77 pingat emas diinginkan.
Namun, apa yang pasti misi utama untuk merangkul gelaran juara telah terlaksana.
Paling mengagumkan, semangat juang yang dipamer semua atlet bertanding.
Walaupun, berdepan tentangan sengit dari pesaing yang mewakili negeri-negeri lain namun mereka tidak hilang fokus malah berupaya meraih pingat demi pingat yang sekali gus menaikkan nama negeri Sarawak.
Tampak jelas sokongan serta kerjasama diberikan para jurulatih, pegawai serta juga ibu bapa atlet yang terlibat secara tidak langsung juga antara pendorong dan penyumbang kejayaan penuh bermakna itu.
Dalam pada itu, program pembangunan terancang dilaksanakan terutama persiapan atlet bagi menghadapi temasya lepas juga begitu berkesan sekali.
Mengambil kira kecemerlangan dipamer para atlet dalam setiap acara disertai. Tidak hanya ada kalangan mereka yang berjaya memastikan pingat emas untuk Sarawak.
Bahkan, ada kalangan mereka yang berjaya memperbaharui rekod kejohanan.
Lebih membanggakan apabila Piala Semangat Paralimpik menjadi milik kontinjen Para Sukma Sarawak bagi pencapaian cemerlang mengungguli temasya berkenaan.
Sembilan acara disertai kontinjen Para Sukma Sarawak 2018 pada temasya berkenaan.
Antaranya olahraga, renang, powerlifting, badminton, ping-pong, tenpin boling, catur, memanah dan boccia.
Naib juara temasya lepas milik kontinjen Sabah dengan 94 pingat membabitkan 36 emas, 28 perak dan 30 gangsa.
Tuan rumah (Perak) pula menduduki tangga ketiga membabitkan 84 pingat keseluruhan dengan 29 emas, 33 perak dan 22 gangsa sekali gus melebihi sasaran 25 emas.