ALEXANDRA LORNA
KOTA SAMARAHAN: Tiada kes atau kesalahan berkaitan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaporkan di Sarawak sepanjang tempoh penguatkuasaan iaitu dari 20 Mei lalu sehingga semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, tiada kesalahan dilaporkan di Sarawak setakat ini dan merupakan satu rekod yang terbaik.
“Sepanjang tempoh kuatkuasa bagi seluruh Malaysia, kita telah mengadakan 17,496 pemeriksaan dan dari hasil pemeriksaan terdapat 22 aduan dan 48 kes dilaporkan.
“Sejumlah RM10,448 nilai rampasan dilakukan dan sejumlah RM118,000 nilai kompaun telah dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan di Pasar Basah Bandar Riyal, di sini.
Beliau menambah rampasan dan kompaun adalah antara tindakan yang diambil bagi kesalahan yang dilakukan semasa pemeriksaan.
“Ini bermakna pihat penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan, dan bukan seperti tuduhan sesetengah pihak mengatakan kita tidak memantau sekali gus ia adalah tidak betul.
“Ada aduan mengatakan penguatkuasa tiada turun padang dan itu tidak betul kerana mereka sentiasa memantau di lapangan,” tegasnya.
Kata beliau, hasil daripada jumlah pemeriksaan tersebut, KPDNHEP mengenakan kompaun kepada kes yang telah disiasat dan didapati ada kesalahan.
“Majoriti kesalahan yang dikenalpasti adalah menjual barangan tersenarai dalam skim melebih harga maksima yang ditetapkan dan juga tidak meletakkan tanda harga pada barang jualan,” jelasnya.
Beliau berkata bagi pecahan kes pula, terdapat 15 kes di peringkat runcit manakala dua kes peringkat boring melibatkan jualan lebih harga maksimum dan 31 kes tidak meletakkan tanda harga di peringkat runcit.
“Jika dilihat, kesalahan-kesalahan ini bukanlah satu perkara yang susah untuk dipatuhi. Oleh itu, peniaga dinasihatkan untuk mematuhi harga maksima dan pamerkan tanda harga pada barang jualan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau berkata selepas memantau keadaan di Pasar Basah Bandar Riyal, keadaan pasar adalah sangat bersih dan mematuhi garis panduan pengoperasian semasa Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB).
“Peniaga juga mematuhi harga jualan maksima dan ada yang menjual lebih murah daripada harga yang ditetapkan dalam senarai harga maksima.
“Itu yang terbaik kerana mereka tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan berlebihan tetapi menjual mengikut permintaan pelanggan, dari segi itu memang memuaskan,” katanya.