BEIJING: Pengambilan susu penuh krim dan lemak susu secara jangka panjang tidak meningkatkan berat badan atau beban lipid darah dengan ketara pada tikus, menurut kajian baharu oleh penyelidik China, lapor Xinhua.
Kajian itu dilakukan penyelidik sebuah institut makanan dan pemakanan di bawah Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, Universiti Tsinghua dan Akademi Sains Pertanian China (CAAS) serta diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal iMeta.
Susu adalah makanan ruji untuk lebih enam bilion penduduk dunia, menjadikannya antara makanan yang paling banyak diambil secara global.
Menurut kajian itu, penyelidikan terdahulu mencadangkan yang diet tinggi lemak tepu boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.
Bagaimanapun, penemuan terkini menunjukkan lemak tenusu mungkin tidak menyumbang kepada risiko ini, meninggalkan kesan jangka panjang pengambilan lemak susu pada metabolisme lipid, masih tidak jelas.
Bagi pengesahan lanjut, penyelidik menjalankan eksperimen selama tujuh minggu ke atas tikus, membahagikan mereka kepada dua kumpulan dengan satu kumpulan diberi diet normal, manakala kumpulan satu lagi diberi diet tinggi lemak.
Kedua-dua kumpulan menerima dos harian sama ada 15 mililiter susu penuh krim atau 0.5 mililiter lemak susu – jumlah yang setara dengan manusia mengambil lebih 2 kilogram susu atau 100 gram lemak susu setiap hari selama lima tahun.
Keputusan menunjukkan susu penuh mahupun lemak susu tidak memberi kesan ketara terhadap berat badan atau beban lipid darah pada tikus, tanpa mengira jenis diet mereka.
Kajian itu juga mendapati susu penuh krim dan lemak susu meningkatkan kepelbagaian mikrobiota usus serta kehadiran bakteria utama dan metabolityang berkaitan dengan pengawalan lipid.
“Penemuan ini menjawab kebimbangan lama mengenai susu penuh dan lemak susu,” kata Wang Jiaqi, penyelidik di CAAS. “Ia juga memberikan pandangan berharga untuk industri makanan dan dasar pemakanan global serta memaksimumkan kecekapan sumber makanan.”
Penemuan ini menyumbang kepada pemahaman mengenai kesan jangka panjang susu penuh krim dan lemak susu terhadap kesihatan lipid darah, tambah Wang. – BERNAMA-XINHUA