MIRI, 23 November: Pemandu perkhidmatan e-hailing disifatkan sebagai duta tidak rasmi pelancongan negara kerana memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan awal pelancong terhadap Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata, pemandu bukan sekadar menyediakan perkhidmatan pengangkutan, malah berpotensi memperkenalkan keramahan serta keunikan masyarakat tempatan kepada pengunjung.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemandu supaya sentiasa menjaga tatasusila, memberikan layanan baik kepada penumpang serta melengkapkan diri dengan maklumat terkini mengenai destinasi dan aktiviti pelancongan.
Katanya, kebersihan dan keselesaan kenderaan juga perlu diberikan perhatian kerana ia merupakan antara tanggapan pertama pelancong terhadap imej pelancongan negara.

“Pastikan kenderaan masing-masing sentiasa dalam keadaan bersih dan selesa. Ini merupakan tanggapan pertama imej pelancongan negara kepada pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kolaborasi Maxim Malaysia dan Pelancongan Malaysia sempena kempen ‘Jelajah Bersama Maxim’ di sini, hari ini.
Menurutnya, kempen berkenaan turut memperkenalkan beberapa kemudahan sokongan termasuk lokasi pengambilan penumpang, papan tanda informasi dan bangku di lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan pelawat.
Katanya, pendekatan itu membolehkan promosi pelancongan dilaksanakan menerusi kaedah lebih kreatif dengan memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan masyarakat dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat swasta menyertai usaha pembangunan pelancongan negara melalui kepakaran, teknologi dan rangkaian perkhidmatan masing-masing.
“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik yang mampu memberikan manfaat kepada industri, masyarakat dan ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berharap kempen berkenaan dapat memperkukuh promosi destinasi pelancongan, meningkatkan kemudahan mobiliti serta menggalakkan lebih ramai masyarakat meneroka keindahan negara.
Oleh Liong Chai Ling




