KUCHING: Motif pembunuhan seorang wanita yang ditemui reput di Tabuan Jaya di sini terungkai selepas suspek mengaku terdesak memerlukan wang untuk menyaksikan saingan Malaysia-Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Kemboja.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, motif pembunuhan itu diketahui susulan pengakuan dibuat suspek ketika masih dalam tahanan reman oleh pihaknya.
“Suspek mengaku mengambil barang kemas yang digunakan oleh mangsa iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas untuk digadai.
”Barangan kemas itu digadai sebagai perbelanjaan suspek yang ingin menyaksikan perlawanan Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja, 8 Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Krismas 2024 dan Hari Bertemu Pelanggan PDRM Kontinjen Sarawak di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, selepas berjaya melakukan siasatan dan mendapat pengakuan daripada suspek dan bukti yang diperoleh, Mancha berkata, kes itu hampir selesai.
Katanya lagi, suspek juga telah menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita yang sudah reput baru-baru ini.
”Semalam ketika pihak polis mengadakan pemeriksaan susulan di lokasi mayat ditemui pada Ahad lalu iaitu di longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Tabuan Jaya, polis menemui beberapa bahan bukti baharu termasuk pakaian, gigi dan gumpalan rambut.
“Polis pergi semula ke lokasi itu semalam kerana ketika ditemui, mayat tidak berpakaian lengkap dan berdasarkan hasil pemeriksaan susulan yang dibuat semalam, kita berjaya menemui bukti baharu,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis kini masih menunggu keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diperoleh pada 22 Disember ini bagi mengesahkan identiti mayat reput itu.
Jelasnya, pengecaman wajah agak sukar dilakukan berikutan keadaannya yang sudah mereput.
Untuk rekod, mangsa yang dikenali sebagai Nurul Asikin Lan, 26, telah dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas dikatakan keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya.
Oleh Rynna Sha’erra