SARIKEI: Pendekatan Kerajaan Sarawak menggunakan kaedah ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ sangat berkesan terutama untuk kawasan luar bandar, kata Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Katanya, di kawasan luar bandar, capaian internet agak kurang dan menyebabkan ramai yang tidak dapat mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
“Tetapi ini tidak bermakna mereka tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Apabila Kerajaan Sarawak menggunakan kaedah ‘suntik dahulu, daftar kemudian’, bermakna ini membolehkan penduduk kampung, rumah panjang atau di bandar yang belum mendaftar menerima suntikan dahulu.
“Setelah menerima suntikan, baru proses pendaftaran dilakukan,” katanya.
Yusuf berkata demikian semasa menjalankan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Daerah Sarikei di Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang, pada Sabtu lalu.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh.
Tambah Yusuf, penggunaan kaedah hibrid ini akan menambah lagi jumlah orang yang bakal menerima vaksin Covid-19.
“Saya berkesempatan pergi ke PPV Bintangor, PPV Betanak dan PPV Tanjong Manis, melihat kepada sambutan yang diberikan oleh penduduk, mereka datang awal pagi dan sangat teruja untuk menerima vaksin.
“Sambutan dari penduduk begitu menggalakan. Mereka memang menerima dan menunggu untuk divaksin,” ujarnya.
Oleh EARL ANEK