KUCHING: Kemeriahan Sambutan Hari Malaysia 2026 tetap dirasai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini apabila kira-kira 5,000 pengunjung memenuhi ruang dewan, meskipun acara itu diadakan di dalam bangunan berikutan keadaan jerebu rentas sempadan.
Sambutan bertemakan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati” itu turut disiarkan menerusi pelbagai platform televisyen dan digital bagi membolehkan rakyat menyaksikan kemeriahan acara berkenaan.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir sebagai tetamu kehormat utama sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan itu.
Acara dimulakan dengan persembahan selamat datang “Segulai Sejalai”, selain lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyampaikan ucapan, disusuli acara simbolik menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2026 secara digital bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai tanda tekad memperkukuh perpaduan.
Acara kemuncak sambutan diserikan dengan upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Hari Malaysia 2026, diikuti perarakan masuk konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan bacaan Rukun Negara yang dipimpin petinju Sarawak, Muhammad Asyraf Abdullah, 26, atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy.


ANTARA persembahan tarian tradisional pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini. Foto Bernama
Hadirin turut disajikan dengan persembahan teater muzikal “Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati” serta “Serumpun MADANI Tiga Wilayah” yang mengetengahkan semangat patriotisme dan perpaduan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Persembahan penutup oleh Faizal Tahir menerusi lagu “Aku Berjanji” turut mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin sebelum sambutan diakhiri dengan pertunjukan bunga api di Tebingan Kuching. – Bernama



