
SARIKEI: Usaha berterusan memperkasakan pendidikan anak-anak di Sarikei diteruskan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, melalui pengagihan 914 beg sekolah bagi tahun 2025 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan ini.
Sumbangan tersebut merupakan kesinambungan kepada bantuan yang pernah disalurkan sebelum ini, termasuk dua pasang pakaian sekolah dan sepasang kasut kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.
Kali ini, bantuan diagihkan kepada 11 sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Kwang Chien, SJK Su Ming, SJK Su Tak, SK Tanah Putih, SK Sungai Petai, SJK Hua Nam, SJK Hua Kee, SJK Su Dok, SK Penghulu Andin, dan SJK Sing Ming.
Dato’ Sri Huang, yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, berkata beliau memahami beban kewangan yang ditanggung ibu bapa setiap kali sesi persekolahan bermula.
“Oleh itu, saya amat berharap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga dan memberi dorongan kepada para pelajar untuk terus belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan tersebut, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa pelajar adalah aset penting negara yang perlu diberi perhatian, bimbingan, dan sokongan berterusan agar mampu mencapai kejayaan yang membanggakan.
Program pengagihan ini dilaksanakan oleh pasukan Pusat Khidmat Dato’ Sri Huang yang diketuai oleh Kapitan Ling Dien Yong, dengan kerjasama Kr Wong Kie Yong, Penghulu Huang Tiong Kang, Kapitan Ling Sien Chuong, dan Tuai Rumah Pitre Ambit.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan komitmen Dato’ Sri Huang terhadap kebajikan pelajar, yang bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran mereka.