Sultan Pahang mahu Telok Melano-Tioman lebih dekat

Facebook
WhatsApp
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bergambar kenangan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, Lundu, hari ini.

TELOK MELANO: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu hubungan antara Telok Melano, Sarawak dengan Pulau Tioman, Pahang dipererat, susulan kedudukan kedua-dua kawasan itu yang hanya sekitar 333 batu nautika atau kira-kira 616 kilometer.

Baginda bertitah, jarak berkenaan sebenarnya tidak terlalu jauh dan mempunyai potensi untuk diterjemahkan kepada hubungan lebih erat antara rakyat Sarawak dan Pahang, khususnya menerusi jaringan pengangkutan yang lebih baik.

“Tak jauh sangat. Makan pagi, makan tengah hari, malam sudah sampai dalam bot. Itulah poin yang paling dekat antara Pahang dengan Telok Melano,” titah baginda.

Baginda berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, Lundu, hari ini.

Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Al-Sultan Abdullah berkata, perjalanan dari Telok Melano ke Pulau Tioman dianggarkan mengambil masa kira-kira dua jam 10 minit menggunakan helikopter, manakala bot laju berkelajuan sekitar 30 knot pula mengambil masa kira-kira 11 jam.

Menurut baginda, kedekatan kedua-dua kawasan itu turut mencetuskan ungkapan bahawa Pahang dan Sarawak ibarat ‘cousin‘ atau sepupu, yang disifatkannya sebagai gambaran menarik mengenai hubungan kedua-dua negeri.

“Saya bersetuju dengan itu dan anak-anak saya pun dah terima dengan hasrat itu iaitu kita ini cousin,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berharap hubungan antara pemimpin dan rakyat Pahang serta Sarawak terus dieratkan, termasuk dengan meneroka bentuk jaringan pengangkutan yang dapat mendekatkan kedua-dua wilayah.

Dalam usaha berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkata baginda pernah mencadangkan kepada kerajaan Sarawak supaya AirBorneo pada masa hadapan turut mempunyai persinggahan di Pahang.

Baginda turut memaklumkan sedang berusaha mencari kaedah untuk menghidupkan semula hubungan pengangkutan laut antara Semenanjung dan Sarawak yang pernah disediakan menerusi perkhidmatan Feri Malaysia.

Al-Sultan Abdullah berkata, baginda bersama isteri pernah menggunakan perkhidmatan berkenaan pada 1986, namun kapal yang digunakan ketika itu sudah berusia dan tidak dapat bertahan lama.

“Kita kena cari cara-cara lain untuk boleh menghubung semula,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang disifatkan dinamik, berwawasan serta prihatin terhadap pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

“Saya sentiasa mengikuti ucapan dan idea-idea Premier yang cukup bernas dan cukup berkesan sekali. Setiap cadangan itu, idea-idea itu sentiasa direalisasikan, dikotakan.

“Alhamdulillah, bertuah rakyat Sarawak kerana mempunyai kepimpinan yang cukup dinamik dan cukup berkesan,” titah baginda.

Baginda berkata, perkembangan Telok Melano turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan Sarawak memperluas pembangunan serta meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan masyarakat, termasuk di kawasan yang sebelum ini berdepan keterbatasan dari segi perhubungan.

Telok Melano yang dahulunya bergantung kepada perhubungan laut kini berubah dengan adanya jaringan jalan raya menerusi pembukaan Jalan Pan Borneo ke kawasan itu pada 2019, sekali gus meningkatkan keterhubungan penduduk dengan kawasan lain di Sarawak.

Perkembangan itu turut membuka ruang kepada penyediaan kemudahan awam dan keagamaan yang lebih baik, termasuk Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini menjadi antara kemudahan penting untuk masyarakat setempat.

Masjid berkapasiti sekitar 500 jemaah itu dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 0.485 hektar dengan kos sekitar RM8.8 juta, selain berpotensi menjadi tempat persinggahan musafir dan pengunjung yang datang ke Telok Melano.

Al-Sultan Abdullah berharap masjid berkenaan bukan sekadar menjadi tempat ibadah, sebaliknya turut menjadi pemangkin kepada pembangunan Telok Melano.

“Saya berdoa rumah Allah ini akan menjadi satu pemangkin kepada pembangunan di sini, sebagaimana yang telah dibentangkan berkaitan dengan cadangan pembangunan di sekitar masjid ini,” titah baginda.

Baginda turut berharap masjid itu sentiasa diimarahkan dan dipenuhi jemaah, termasuk pengunjung yang singgah di Telok Melano.

“Saya harap masjid ini cukup sederhana, cukup cantik, padat. Tetapi yang lebih penting, pengisiannya mesti penuh. Imarahnya, memakmurkannya, kerahmatannya dan keberkatannya perlu,” titah baginda.

Lebih istimewa, masjid berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan Kembara Kenali Borneo apabila Al-Sultan Abdullah, ketika itu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, berangkat ke Telok Melano pada 13 September 2023 sebagai destinasi terakhir kembara berkenaan dan menyempurnakan upacara pecah tanah pembinaannya.

Tiga tahun kemudian, baginda kembali ke Telok Melano untuk menyempurnakan perasmian masjid yang dinamakan sempena nama baginda itu, sekali gus melengkapkan satu lagi lembaran penting dalam perkembangan komuniti di kawasan berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi

IPU Serian masih tertinggi, catat 241

KUCHING: IPD Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak iaitu 241 setakat 8.00 pagi ini, berada dalam