MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan bahawa temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 tidak akan dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa perubahan akan dilakukan termasuk mengadakan Sukan Para Sukma terlebih dahulu dan kemudiannya Sukma.
Sebelum ini, temasya dwitahunan terbesar negara yang sepatutnya berlangsung pada Julai, ditangguhkan ke tahun hadapan susulan penularan COVID-19.
“Setelah meneliti perkara yang dibentangkan oleh Sektariat Sukma Johor dalam mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Tertinggi sebulat suara bersetuju supaya Para Sukma 2020 dianjurkan terlebih dahulu iaitu pada 8-13 Mac 2021.
“Ini mengambil perkiraan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan berlangsung bermula 1-19 Mac yang setelah dihitung, hampir 171 orang atlet terlibat dalam peperiksaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma Johor 2020 di Kota Iskandar baru-baru ini.
Reezal Merican berkata beliau akan mengadakan mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa sama pada Disember ini bagi menentukan tarikh sebenar penganjuran temasya Sukma.
“Saya mengambil langkah secara lebih terancang kerana tindakan ini tidak akan menyebabkan kita melakukan perkara yang terburu-buru.
“Bayangkan kalau kita batal, kita telah hantar isyarat yang tidak betul kepada komuniti sukan kerana ini membawa kesan terhadap perkara seperti latihan dan penajaan,” katanya.
Mengulas lanjut mesyuarat berkenaan, Reezal Merican berkata pihaknya turut membincangkan mengenai penggiliran tuan rumah Sukma antara negeri dan pusat.
“Pihak kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi telah sarankan supaya kami (kementerian) mengubah model penganjuran Sukma untuk mengurangkan beban terutama dalam aspek perbelanjaan modal yang menelan kos hampir suku bilion. Bayangkan, suku bilion perlu dibelanjakan setiap tahun.
“Meneliti keadaan itu, maka jawatankuasa tertinggi Sukma mencadangkan agar ia diadakan secara bergilir. Maknanya, dua tahun diadakan di negeri, manakala dua tahun berikutnya di Lembah Klang iaitu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
“Ini sekali gus membolehkan kemudahan yang telah cukup lengkap di Selangor dan Kuala Lumpur dapat diguna secara lebih kerap, dengan cara itu, kita tidak memerlukan perbelanjaan modal yang tinggi,” katanya.-Bernama