SARIKEI: Sukan platform penting sebagai pemacu ekonomi, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, industri sukan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai saluran, seperti peluang pekerjaan, pelaburan dalam infrastruktur, dan peningkatan perbelanjaan pelancongan.
“Apabila acara sukan berskala besar seperti kejohanan antarabangsa atau sukan tempatan dianjurkan, ekonomi setempat mendapat manfaat secara langsung.
“Acara ini menarik pelancong sama ada tempatan mahupun luar negara yang membelanjakan wang untuk penginapan, makanan, pengangkutan dan aktiviti rekreasi lain.
“Ini merancakkan sektor pelancongan dan meningkatkan pendapatan kepada perniagaan tempatan,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sarawak 2024 bertempat di Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.
Selain itu, katanya, industri sukan membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan acara pemasaran pembuatan barangan sukan dan media.
“Pembangunan infrastruktur sukan seperti stadium, pusat latihan dan kemudahan rekreasi juga memberi kesan positif jangka panjang kepada ekonomi.
“Infrastruktur ini bukan sahaja digunakan semasa acara tetapi juga boleh dioptimumkan untuk kegunaan komuniti dan menjadi sumber pendapatan yang berterusan.
“Sukan juga memberi peluang kepada syarikat untuk melakukan penajaan dan pengiklanan, meningkatkan jenama mereka di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Jelasnya, ini sekali gus meningatkan aktiviti komersial dan memperkukuhkan rantaian nilai ekonomi.
“Secara keseluruhannya, sukan berpotensi besar sebagai pemacu ekonomi, menyumbang kepada pertumbuhan yang mampan dan memperkukuhkan ekonomi melalui pelbagai saluran.
“Kejayaan pelaksanaan HSN 2024 ini bukan hanya diukur daripada segi jumlah pencapaian penyertaan yang melebihi sasaran, namun ia juga harus diukur daripada segi proses dan gerak kerja pelaksanaan.
“Untuk itu semua maklum balas sama ada dalam bentuk isu dan masalah mahupun cadangan penambahbaikan amatlah diperlukan daripada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Marilah kita bersukan, tingkatkan kecergasan dan kukuhkan perpaduan negara,” katanya lagi.
Turut hadir, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau, Pengarah Cawangan Penggalakan Dan Pembangunan Sukan Jabatan Belia Dan Sukan Negara, Mohd Nizam Ismail dan Residen Sarikei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan HSN Peringkat Negeri Sarawak 2024, Datu Michael Ronnie Langgong.
Oleh Earl Anek