
MARUDI: Acara sukan merupakan platform penting untuk mengenal pasti potensi murid serta mencungkil bakat dalam kalangan anak-anak muda.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, keupayaan murid akan diuji apabila mereka bersaing antara satu sama lain, sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurutnya, jika potensi ini digilap sejak dari peringkat awal, tidak mustahil kita akan dapat melahirkan lebih ramai atlet muda sebagai pelapis kepada atlet negara sedia ada seperti ratu renang negara, Datuk Pandelela Rinong, atlet angkat berat Bonnie Bunyau, dan ramai lagi.
Tambahnya, penglibatan dalam sukan juga menuntut disiplin tinggi, sama ada dari segi pengurusan masa, pemakanan, mahupun penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
“Cabaran yang dihadapi, baik dari segi fizikal mahupun mental, akan memberi hasil yang bermakna suatu hari nanti untuk kejayaan mereka dalam kehidupan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang dan jaguh sukan MSSD Zon Baram atas pencapaian cemerlang, termasuk kejayaan memecah rekod dalam temasya sukan MSSD Baram pada tahun-tahun terdahulu.
“Ini adalah petunjuk positif bahawa anak-anak dari luar bandar dan pedalaman juga mampu mencapai kejayaan, walaupun berdepan kekangan fasiliti sukan yang tidak sebaik di kawasan bandar,” ujarnya.
Namun begitu, beliau menegaskan kekurangan tersebut tidak seharusnya melemahkan semangat juang para atlet untuk terus berjaya, seiring dengan minat dan potensi mereka.
Beliau optimis bahawa atlet dari daerah Baram mampu menempa nama di peringkat lebih tinggi. Oleh itu, beliau menggesa agar para atlet terus berusaha, bersaing secara sihat dan mengekalkan latihan secara konsisten.
“Selain itu, penyertaan murid dalam aktiviti sukan terbukti mampu meningkatkan tahap disiplin, dan saya berharap mereka dapat membina jati diri yang penuh karisma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kejohanan Olahraga Sekolah Daerah (MSSD) anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Baram 2025, yang berlangsung di Kompleks Sukan Marudi, hari ini.
Sebanyak lima zon terlibat dalam kejohanan MSSD kali ini, iaitu Zon Baram Hilir, Zon Baram Ulu, Zon Baram Tengah, Zon Tutoh Apoh dan Zon Tinjar, melibatkan 66 sekolah rendah serta 372 orang atlet.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 daripada dana MRP bagi menyokong persediaan atlet dan pegawai yang akan mewakili MSSD Baram ke peringkat bahagian.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil turut menyumbang RM10,000 kepada kejohanan tersebut.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Baram (Sektor Pengurusan Sekolah), Wan Omar Wan Hussein.
Oleh Jiku Juguong