NAGOYA: Atlet karate wanita negara C. Shahmalarani menyumbang pingat emas ketiga kepada kontinjen Malaysia selepas mengungguli acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.
Shahmalarani yang membuat penampilan kedua pada temasya itu menewaskan wakil Hong Kong Tsang Yee Ting menerusi keputusan juri selepas kedua-dua atlet terikat 0-0 pada aksi final di Gimnasium Toyohashi.
Atlet negara itu terlebih dahulu menyingkirkan wakil Uzbekistan Gulshan Alimardanova 3-2 pada separuh akhir untuk mara ke final.
Kemenangan itu turut menjadi detik manis buat Shahmalarani selepas tewas kepada Alimardanova pada final Kejohanan Dunia di Cairo, Mesir tahun lepas.
“Ia umpama menaiki ‘roller-coaster’ tetapi… saya sangat gembira sekarang. Saya cuma mahu menikmati saat ini kerana perjalanannya sangat, sangat sukar. Saya tahu semua orang terpaksa mengharungi perjalanan yang sukar.
“… tetapi apabila berkongsi carta bersama juara dunia, pemain nombor lima dunia, kami seperti teruja setiap kali bertemu dan kami mengenali antara satu sama lain… dan inilah cara untuk memenangi pingat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Atlet negara itu berkata perjalanan menuju ke pentas Sukan Asia kali ini bukan mudah selepas berdepan kecederaan serta beberapa keputusan mengecewakan dalam kejohanan terdahulu.
“… dan anda sering berasa ragu-ragu terhadap diri sendiri, tertanya-tanya sama ada saya berada di landasan yang betul untuk Sukan Asia? Ia adalah temasya sukan dan tanggungjawab terhadap negara terletak di bahu saya. Jadi, segalanya kini tampak seperti satu perjalanan yang lancar dengan kejayaan meraih pingat emas itu,” katanya.
Shahmalarani memulakan kempen dengan kemenangan 8-0 ke atas Fong Man Wai dari Macau pada pusingan pertama sebelum mengatasi wakil Bangladesh Saiama Jaman 5-4 dalam aksi suku akhir. – Bernama





