Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Suhu Piala Dunia meningkat akibat perubahan iklim
  • SUKAN

Suhu Piala Dunia meningkat akibat perubahan iklim

Utusan Sarawak 3 hours ago
SEORANG penyokong Jepun menutup kepalanya dengan bajunya di bawah cuaca panas terik di pesta menonton di Los Angeles semasa perlawanan Piala Dunia Jepun menentang Belanda pada 14 Jun. Foto AFP

ISTANBUL: Perubahan iklim meningkatkan kemungkinan berlakunya cuaca panas melampau pada aksi Piala Dunia FIFA 2026, menurut analisis oleh organisasi penyelidikan iklim, Climate Central.

Kajian itu mendapati suhu yang melebihi paras ambang menjejaskan prestasi iaitu 28 darjah Celsius (°C) mempunyai kebarangkalian sekurang-kurangnya 50 peratus untuk berlaku dalam 49 daripada 104 perlawanan kejohanan berkenaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ia berkata  perubahan iklim meningkatkan kebarangkalian berkenaan sekurang-kurangnya 10 mata peratusan dalam 26 perlawanan terbabit.

Piala Dunia FIFA 2026 akan menampilkan 48 pasukan kebangsaan, termasuk Turkiye, yang bakal bersaing dalam 104 perlawanan di 16 bandar raya di Amerika Syaikat (AS), Kanada dan Mexico. Penyelidikan menunjukkan bahawa suhu melebihi 28°C boleh menjejaskan prestasi pemain serta strategi dan gaya permainan pasukan.

Perlawanan yang dijangka paling terkesan akibat perubahan iklim ialah pertemuan antara Uruguay menentang Sepanyol yang dijadualkan berlangsung di Guadalajara, Mexico pada 26 Jun.

Kebarangkalian suhu melebihi 28°C bagi perlawanan itu adalah sebanyak 70 peratus, iaitu angka yang sepatutnya 37 mata peratusan lebih rendah sekiranya tiada perubahan iklim.

Bagi perlawanan antara Turkiye dan AS di Stadium Los Angeles pada 25 Jun pula, kebarangkalian suhu melebihi 28°C mencecah 49 peratus, dengan perubahan iklim menyumbang enam mata peratusan kepada angka berkenaan.

Untuk aksi final di New Jersey pada 19 Julai, kebarangkalian para pemain terpaksa beraksi dalam keadaan panas yang menjejaskan prestasi adalah sebanyak 47 peratus, berbanding hanya 30 peratus jika tiada perubahan iklim.

Analisis itu turut meneliti kekerapan hari beriklim panas melampau yang berlaku pada bulan Jun dan Julai sepanjang dekad lepas (2016 hingga 2025), berbanding dekad sebelumnya apabila setiap satu daripada 10 bandar raya tuan rumah kali terakhir menganjurkan perlawanan Piala Dunia.

Miami, yang menjadi tuan rumah pada 1994, dan Mexico City pada 1986, masing-masing mengalami hari Jun-Julai yang sangat panas sebanyak tujuh kali ganda dalam dekad kebelakangan ini berbanding tempoh penganjuran mereka yang terdahulu.

Dalam satu temu bual bersama Anadolu, Pakar Ortopedik dan Traumatologi di Hospital Acibadem Maslak di Istanbul, Prof Dr Abdullah Yener Ince berkata peningkatan suhu merupakan antara cabaran alam sekitar paling mendesak dalam sukan bola sepak hari ini, dan ia perlu dinilai daripada sudut kesihatan serta prestasi pemain.

Beliau berkata pemain kadangkala terpaksa bertarung bukan sahaja menentang pihak lawan tetapi juga keadaan cuaca, iaitu cabaran yang menjadi jauh lebih ketara dalam kejohanan musim panas.

“Pemain kehilangan lebih banyak cecair badan, kadar denyutan jantung meningkat dan proses pemulihan menjadi lebih sukar. Untuk mengekalkan larian berintensiti tinggi pada fasa akhir perlawanan juga menjadi lebih sukar kerana pada satu tahap, badan akan lebih fokus untuk menyejukkan diri berbanding prestasi,” katanya.

Beliau berkata jumlah larian pecutan berulang boleh menurun apabila suhu meningkat, tumpuan menjadi lebih sukar untuk dikekalkan, malah kelewatan satu saat dalam membuat keputusan boleh mengubah keputusan perlawanan.

Dr Ince turut menyatakan bahawa banyak pasukan kini memasukkan latihan penyesuaian suhu panas ke dalam rancangan kem persediaan sebelum kejohanan, memandangkan keupayaan badan untuk menyesuaikan diri dengan haba mampu memberikan perbezaan yang ketara kepada prestasi.- Bernama-Anadolu

Continue Reading

Previous: Hasrat pemain Belgium Doku berada di sisi isteri ketika lahirkan anak sulung
Next: Haaland dijangka beri impak besar di Piala Dunia, kata jurulatih Norway

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.