




BINTULU: Suasana di pusat beli-belah The Spring, Bintulu, masih lengang meskipun Aidilfitri semakin hampir, dengan hanya segelintir pengunjung dilihat membeli keperluan perayaan.
Tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati kebanyakan gerai yang menjual barangan seperti kek lapis dan biskut raya masih menunggu lonjakan pelanggan.
Menurut penjaga gerai, Putri Nurul Hayati, 18, permintaan terhadap produk perayaan kebiasaannya meningkat dalam tempoh beberapa hari sebelum Aidilfitri.
“Biskut raya seperti makmur dan almond London antara yang paling laris.
“Kek lapis juga mendapat permintaan tinggi, terutamanya apabila Hari Raya semakin dekat.
“Setakat ini, belum ramai yang membeli, tetapi sudah ada pelanggan yang bertanya mengenai tempahan,” katanya.
Walaupun sambutan masih perlahan, peniaga yakin keadaan akan berubah apabila lebih ramai pengunjung mula membuat persiapan menjelang Hari Raya.
Oleh Carolyne Utih