KUCHING: Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak kembali mencatat tahap tidak sihat apabila lima stesen merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan bacaan IPU, Kuching merekodkan bacaan tertinggi di negeri ini iaitu 161, diikuti Serian (158) dan Samarahan (152).
Dua lagi stesen yang mencatat bacaan pada tahap tidak sihat ialah Tebedu dengan 116 dan Lundu (106).
Bacaan itu menunjukkan peningkatan berbanding 8.00 pagi tadi apabila kelima-lima stesen berkenaan masih merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, masing-masing Kuching (95), Serian (92), Samarahan (77), Tebedu (90) dan Lundu (77).
Sementara itu, Betong (MCAQM) merekodkan bacaan IPU 91, diikuti Sri Aman (84), Lubok Antu (81), Samalaju (59), ILP Miri (55), Miri dan Lawas masing-masing 54, serta Sarikei dan Limbang masing-masing 52.
Sibu dan Bintulu pula masing-masing merekodkan bacaan 60 dan 62, yang turut dikategorikan pada tahap sederhana.
Empat stesen kekal mencatat kualiti udara pada tahap baik iaitu Mukah dengan bacaan 41, Kapit (40), Bario (37) dan Kanowit (36).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 pada tahap tidak sihat.





