
SARATOK: Tindakan melulu seorang buruh yang tergamak memukul isterinya menggunakan kepingan jubin sehingga cedera parah di bahagian dahi akhirnya membawa padah apabila dia ditangkap pihak polis di Kampung Melango Lama, di sini, kelmarin.
Kejadian yang berlaku pada Rabu lalu itu berpunca daripada perselisihan faham selepas suspek mendakwa dan mensyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Mathew Manggie berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa sendiri yang merupakan seorang peniaga wanita berusia 40 tahun.
Siasatan awal mendapati pasangan berkenaan pada mulanya terlibat dalam pertengkaran mulut di kediaman mereka. Akibat terlalu marah, suspek yang berusia 47 tahun bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan jubin sehingga pecah dan menyebabkan dahi mangsa berdarah.
Mangsa kemudiannya segera mendapatkan rawatan di Hospital Saratok dan satu borang pemeriksaan perubatan Pol 59 telah dikeluarkan untuk tindakan lanjut.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok telah melancarkan operasi dan berjaya menahan suspek di kampung yang sama pada keesokan harinya, iaitu Khamis lalu.
Pihak polis turut merampas empat kepingan pecahan jubin yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut sebagai bahan bukti.
Hasil siasatan lanjut mendedahkan bahawa suspek yang berasal dari Pusa itu mengaku sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul bahagian kening isterinya.
Lebih mengejutkan, suspek juga mengaku berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian kerana baharu sahaja mengambil bahan terlarang tersebut beberapa jam sebelum pergaduhan berlaku.
Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mengesahkan dia positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah terdahulu berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2013 yang mana dia telah pun dijatuhkan hukuman sebelum ini.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.
Menerusi penangkapan suspek tersebut, pihak polis mengesahkan kes ini telah berjaya diselesaikan.
Oleh Adi Safarman