Stor simpanan bahan kimia di hotel terbakar, dua sesak nafas

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan bahan kimia di sebuah hotel, petang ini. Foto JBPM

KUCHING: Sebuah bilik stor yang dijadikan tempat penyimpanan bahan kimia di sebuah hotel di sini terbakar petang ini, mengakibatkan dua individu mengalami sesak nafas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.34 petang.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik stor yang digunakan sebagai tempat penyimpanan bahan kimia.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran,” kata Komander Operasi, PBK II Hafifi dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) turut menggerakkan Pasukan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Tabuan Jaya bagi membantu operasi di lokasi.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, TPgB Mohamad Meramit berkata bahan kimia yang terlibat dikenal pasti sebagai calcium hypochlorite hydrated mixture, iaitu bahan kimia yang digunakan dalam rawatan air.

Dua mangsa mengalami sesak nafas namun kedua-duanya berada dalam keadaan selamat dan telah menerima rawatan daripada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Kerja-kerja pemantauan serta penilaian risiko masih dijalankan di lokasi.