KUCHING: Pameran Perdagangan Sarawak (STF) 2024 merupakan platform untuk inovasi, rangkaian perniagaan dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjadi perayaan terhadap potensi besar Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pameran anjuran Persatuan Pengilang Sarawak (SMA) ini membuktikan kekuatan dan cita-cita komuniti perniagaan negeri ini dalam membangunkan ekonomi yang maju.
“Dengan lebih 200 ahli dan sejarah yang kaya selama 61 tahun, SMA telah memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara pemain industri dan pembuat dasar.
“Komitmen anda semua adalah amat penting dalam memajukan ekonomi dan landskap perindustrian Sarawak.
“Hari ini, acara ini mencerminkan dedikasi berterusan anda dalam membentuk masa depan yang makmur untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat ketika ucapan perasmian pameran tersebut di Dewan Sukan dan Komuniti Ang Cheng Ho di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pameran yang berlangsung pada hari ini hingga Ahad turut disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) serta Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan menampilkan lebih 70 pempamer daripada pelbagai sektor.
Tambah Awang Tengah, beliau turut menekankan potensi besar Padawan sebagai hab perindustrian dan perniagaan baharu yang bakal mencipta peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Menurut Pengerusi Penganjur STF 2024 dan Naib Presiden SMA, Stephen Hii Hium Ung, acara ini menandakan permulaan langkah penting dalam usaha SMA untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, mempamerkan inovasi, dan menghubungkan perniagaan dalam komuniti Sarawak serta di luar negeri.
“Pameran ini bukan sahaja mengenai perdagangan, tetapi juga tentang membina hubungan, mencipta peluang, dan memupuk semangat komuniti.
“Biarlah acara ini menjadi bukti kepada potensi besar yang kita miliki apabila kita bersatu dengan tujuan yang sama,” katanya.
Turut hadir, Presiden SMA Peter Chai Mui Seng, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Openg, Konsul Jeneral Republik Indonesia Raden Sigit Witjaksono, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir. Lo Khere Chiang dan ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin.
Oleh Mohd Neenatul Aizal