PANTU: Pengguna jalan raya yang sering berulang-alik di antara kawasan Kuching dan Sibu kini tidak perlu risau lagi jika kenderaan mereka mengalami masalah kekurangan bahan api ketika dalam perjalanan.
Ini kerana mereka kini boleh membeli bahan api kenderaan masing-masing di Stesen Minyak Petronas yang baharu sahaja beroperasi di pekan Keranggas Gayau atau lebih dikenali sebagai pekan Lachau di sini.
Untuk berbuat demikian, pengguna kenderaan hanya perlu menempuh perjalanan sejauh 142 kilometer dari bandar raya Kuching atau 43 kilometer dari pusat bandar Simanggang sebelum tiba di Stesen Minyak Petronas baharu di Pekan Lachau itu.
Utusan Sarawak difahamkan bahawa pembinaan Stesen Minyak Petronas yang baharu ini telah bermula semenjak enam bulan lepas di sebelah sebuah mini stesen minyak lama di situ yang diberi Got Petrol Station.
Got Petrol Station di Pekan Lachau berkenaan telah beroperasi semenjak awal tahun 1990an dahulu dan dimiliki oleh seorang peniaga tempatan di Pekan Lachau iaitu Lee Thung Po.
Apabila Pekan Lachau mula berkembang dan kian berubah wajah, peniaga berkenaan kemudiannya bertindak memohon lesen membuka Stesen Minyak Petronas baharu tersebut bersama beberapa rakan kongsi di sini.
Hasilnya, Pekan Lachau kini sudah mempunyai sebuah Stesen Minyak Petronas yang baharu dengan majlis perasmian stesen minyak berkenaan telah pun berlangsung di sini pagi semalam.
Majlis itu dihadiri oleh Ketua Runcit Wilayah Sabah dan Sarawak bagi Dagangan Petronas Berhad, Azaiti Seli, Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Mogan a/l Arumugam dan Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sarawak, Fikri Lai Abdullah.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John, pengarah filem tempatan, Dato Robin Lai, pemilik Kedai Runcit PC Rest Stop, Lee Thung Po dan isteri, Wong Chi Chi, Penghulu Lee Thong Sen dan Penghulu Entika Senan.
Pembinaan Stesen Minyak Petronas berkenaan secara tidak langsung akan dapat menarik perhatian lebih ramai pengguna kenderaan dalam negeri ini untuk melakukan persinggahan di Pekan Lachau.
Oleh Valentine Ngumbang