FAIZAL BUJANG
PENGURUSAN Kuching FA akan membincangkan status pemain skuad pelapis sama ada kudrat mereka akan terus dikekalkan untuk saingan musim depan atau sebaliknya.
Ia berikutan keputusan yang telah diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penamatan saingan Liga Piala Presiden 2020 beberapa hari lalu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Iswandy Ali Hassan memberitahu, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut secara lebih terperinci.
“Kita akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan segala yang berkaitan termasuk kontrak pemain.
“Sama ada kudrat mereka terus kekal diguna pakai bagi saingan musim depan atau sebaliknya,” ujar Iswandy ketika mengulas mengenai perkara itu.
Apa pun tambah Iswandy, tiada masalah bagi pihaknya mengekalkan pemain sedia ada kerana pekeliling yang dikeluarkan pihak FAM turut melonggarkan sama had umur pemain bagi saingan musim hadapan.
“Satu kelebihan kepada kita jika mengekalkan pemain ini kerana kesemua mereka masih boleh beraksi untuk saingan musim hadapan,” jelas beliau lagi.
Untuk rekod, skuad muda ini berada di kedudukan kedua dalam carta Kumpulan B (Zon Selatan) selepas menggumpul sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan dan sekali kalah dalamempat perlawanan dilalui.
Dalam perkembangan sama Iswandy yang mewakili Badan Induk (KDFA) menyambut baik keputusan yang dibuat berhubung penamatkan saingan Liga Piala Presiden 2020.
Katanya, ia keputusan yang tepat kerana sebagai badan induk tertinggi (FAM) keselamatan semua pihak yang terlibat dalam kancah Liga Malaysia adalah menjadi keutamaan mereka dalam berdepan musibah penularan virus Covid-19.