LONDON: Tyson Fury dan Anthony Joshua memulakan detik hitung mundur menjelang pertarungan heavyweight yang dinanti-nantikan apabila kedua-duanya tampil ceria pada sidang media menjelang perlawanan di London.
Dua bekas juara dunia heavyweight Britain itu dijadualkan bertarung di Cardiff pada 11 Disember ini selepas rundingan yang tertangguh selama beberapa tahun serta pertikaman lidah antara mereka.
Bagaimanapun, peminat yang menjangkakan suasana tegang ketika kedua-dua petinju itu berkongsi pentas di hadapan kira-kira 1,000 penonton mungkin kecewa apabila kedua-duanya sebaliknya saling menghormati pencapaian kerjaya masing-masing.
Fury malah mengajak Joshua menikmati “segelas bir Guinness” selepas pertarungan mereka, manakala pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 itu mengakhiri pertemuan bersemuka dengan mencuit bahagian perut Fury.

Gelaran heavyweight super WBA yang masih kosong dijangka menjadi taruhan dalam pertarungan itu, manakala Fury turut membidas kritikan bahawa pertemuan tersebut berlangsung ketika kedua-duanya sudah melepasi zaman kemuncak kerjaya.
“Orang ramai mengatakan pertarungan ini sudah terlambat,” kata Fury yang menggelarkan dirinya sebagai “Gypsy King”.
“Pertarungan ini merupakan pelengkap kepada dua kerjaya hebat apabila kami berentap di hadapan 80,000 penonton. Semoga petinju terbaik menang.”
Pertarungan itu pada awalnya dijangka berlangsung di Arab Saudi atau Amerika Syarikat ketika rundingan masih di peringkat awal. Namun, Joshua percaya peluang untuk bertarung di tanah air sendiri akan “memberikan inspirasi kepada satu generasi”.
“Saya amat bersyukur atas peluang ini dan kerana dapat membawa pertarungan ini ke Great Britain kerana saya tahu orang ramai di pub sudah lama berdebat dengan penuh semangat mengenai siapa yang akan menang, malah ada ahli keluarga yang berselisih faham,” katanya.
“Kami akan memberikan inspirasi kepada generasi ini dan generasi akan datang. Rakyat negara ini yang selama ini menyokong kami. Saya sedang memenuhi takdir saya sebelum meninggalkan dunia ini.”
Fury memenangi 36 daripada 39 pertarungan sepanjang kerjayanya dan pernah memegang gelaran heavyweight WBC, WBO serta IBF. Beliau hanya tewas kepada Oleksandr Usyk dalam dua pertarungan merebut gelaran dunia pada 2024.
Joshua pula mencatatkan 30 kemenangan daripada 34 pertarungan, selain pernah memegang gelaran WBO dan IBF pada beberapa peringkat kerjayanya sebelum tewas dua kali kepada Usyk pada 2021 dan 2022. – AFP




