BANDAR SERI BEGAWAN: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) terus berperanan sebagai platform penting dalam mempromosikan produk tempatan ke pasaran global, selain membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih luas.
Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Brunei 2026 membawa agenda penting dalam menghubungkan usahawan, komuniti serta institusi dari Sarawak dan Brunei Darussalam bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua pihak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata program anjuran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk tempatan, membuka peluang pasaran baharu serta memperluas kerjasama ekonomi.
Program yang diperkenalkan pada 2025, terus berkembang apabila penyertaan meningkat daripada 39 kepada 116 usahawan pada tahun ini.

“Pada tahun ini, penyertaan meningkat daripada 39 kepada 116 usahawan melibatkan 50 peserta dari Sarawak dan 66 dari Brunei termasuk peserta Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
“Namun begitu, kejayaan sebenar program ini tidak hanya diukur melalui jumlah penyertaan atau nilai jualan tetapi sejauh mana kita berjaya membina keyakinan, mewujudkan rangkaian baharu dan membuka peluang ekonomi yang mampan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Brunei 2026 di Dewan Muhibbah, semalam.
Seterusnya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal menjadi tulang belakang ekonomi, justeru daya saing sektor itu perlu terus diperkasakan melalui pendigitalan, penggunaan teknologi, inovasi serta peningkatan kualiti produk.
Ini penting bagi memastikan perniagaan tempatan mampu bersaing dengan lebih yakin bukan sahaja dalam pasaran BIMP-EAGA dan ASEAN, malah di peringkat global.
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Abdul Manaf Metussin berkata, peningkatan penyertaan usahawan tahun ini membuktikan keyakinan komuniti perniagaan terhadap program berkenaan sebagai platform membuka peluang pasaran baharu.
Menurut beliau, program itu turut menjadi kesinambungan kepada penyertaan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei Darussalam bersama syarikat tempatan negara itu dalam Pameran Halal Antarabangsa Borneo yang baharu berlangsung di Sarawak.
Oleh Adeng Edrus




