
SONG: Stadium Terbuka Song bakal melalui proses naik taraf bagi menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa kepada penduduk setempat, sekali gus menjadikannya pusat utama bagi penganjuran acara sukan di Bahagian Kapit.
Majlis pecah tanah projek pemulihan stadium itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.62 Katibas, Lidam Assan.
Projek tersebut merupakan inisiatif kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, bagi memastikan masyarakat setempat mendapat akses kepada fasiliti sukan yang lebih baik dan selesa.
Menurut Lidam, pembaikan yang bakal dilaksanakan termasuk kerja-kerja menaik taraf padang dan trek larian, selain pembinaan semula bangunan grandstand stadium.
“Stadium Song ini merupakan salah satu pusat sukan yang akan menjadi tarikan dan tumpuan ramai apabila siap kelak, di mana pelbagai jenis sukan dapat dianjurkan, terutama bola sepak serta kejohanan melibatkan sekolah.
Oleh itu, saya berharap pihak kontraktor dapat menyiapkan projek ini dengan jayanya mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya dalam ucapan perasmian, semalam.
Taklimat ringkas berkenaan projek tersebut telah disampaikan oleh Jurutera Awam, Adrian anak Rarry, yang mewakili Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin, Setiausaha Politik Ambrose Abong, serta wakil dari Pejabat Residen Kapit, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, dan JKR Kapit.
Stadium ini kelak diharapkan dapat memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Song dan Kapit untuk terus menjalankan aktiviti sukan dalam suasana yang lebih selesa dan bertaraf tinggi.