
SIMANGGANG: Kawalan keselamatan penduduk di Kampung Muhibbah terus diperkukuhkan lagi dengan wujudnya aktiviti Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan kampung berkenaan, malam tadi.
Aktiviti rondaan yang diketuai oleh Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Muhibbah, Julaihi Johari serta Ketua Peronda SRS Zon 1 Kampung Muhibbah, Ramli Abu Sera sambil disertai seramai enam orang angggota sedia berkhidmat dari kampung berkenaan telahpun memulakan rondaan mereka sekitar 10.00 malam.
Turut bersama pada aktiviti rondaan tersebut ialah Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Sri Aman, Suzie Masin.
Ramli ketika ditemui berkata, aktiviti rondaan di sekitar Kampung Muhibbah itu telah melibatkan anggota SRS dalam kampung berkenaan.
“SRS ini merupakan salah satu usaha daripada kami penduduk di Kampung Muhibbah untuk membantu mengurangkan kes jenayah yang berlaku dalam kawasan ini dari masa ke semasa.
“Dengan kewujudan SRS ini, pihak kami yakin bahawa kegiatan jenayah akan dapat dibasmi dalam kawasan Kampung Muhibbah dan sekali gus membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah di Daerah Sri Aman,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar penduduk Kampung Muhibbah bersama-sama menjayakan perlaksanaan SRS itu demi mencegah aktiviti jenayah seperti pecah rumah di kawasan penempatan masing-masing pada masa akan datang.
“Keselamatan sesebuah taman perumahan atau kampung sebenarnya bergantung kepada kerjasama semua penduduk. Pelaksanaan SRS ini misalnya adalah salah satu platform penting bagi mewujudkan semangat kerjasama di antara semua penduduk pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Adi Saparman