SARIKEI, 6 Oktober: Sejumlah RM5.32 juta pampasan pengambilan tanah telah dibayar kepada pemilik terlibat bagi membolehkan pelaksanaan projek jalan pintas Nyelong yang bakal memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Projek Cadangan Nyelong ByPass/Jalan Penghubung Kwong Ming Minah melibatkan 32 bidang tanah dengan keluasan keseluruhan 6.61 hektar.
Katanya, daripada jumlah itu, 29 bidang merupakan tanah berhak milik, manakala tiga lagi ialah tanah kerajaan yang turut terlibat dalam jajaran projek.
“Proses pengambilan tanah itu melibatkan 117 keping cek pampasan untuk 100 pemilik tanah, dengan jumlah keseluruhan pampasan yang telah dijelaskan sebanyak RM5,328,390.30.
“Pembayaran pampasan berkenaan merupakan antara langkah penting bagi membolehkan projek jalan sepanjang dua kilometer itu dilaksanakan.
“Ia melibatkan pembinaan jalan selebar 25 meter dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi meningkatkan kemudahan jaringan jalan raya di kawasan terbabit,” katanya.
Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, baru-baru ini.


ANTARA penerima cek pampasan tanah bagi pelaksanaan Projek Cadangan Nyelong ByPass/Jalan Penghubung Kwong Ming Minah di Sarikei. Foto Pusat Khidmat DUN Repok
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak terus diperkasa.
“Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada keperluan rakyat dan berusaha memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh setiap kawasan, termasuk Sarikei.
“Dengan sokongan dan keprihatinan yang berterusan, projek ini akhirnya dapat direalisasikan demi manfaat rakyat dan pembangunan kawasan ini,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan jaringan jalan raya bagi menyokong keperluan perhubungan dan pembangunan di Sarikei.
“Pengambilan tanah yang melibatkan 32 bidang tersebut membolehkan jajaran projek disediakan bagi pembinaan jalan baharu yang akan menghubungkan jalan pintas Nyelong dengan kawasan Kwong Ming Minah.
“Pembinaan jalan itu juga dijangka menyediakan pilihan laluan tambahan kepada pengguna apabila siap kelak, sekali gus memperkukuh rangkaian jalan raya sedia ada di kawasan tersebut,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Sarikei Shafrie Saili, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei Sr. Awan Amal, Jurutera Bahagian JKR Sarikei Ingenieur Teknologis Kennedy Kedo dan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Delta Rajang (Radda) Kelana Kipli.
Oleh Earl Anek




