LONDON: Tottenham memulakan kempen Liga Europa mereka dengan kemenangan 3-0 menentang Qarabag walaupun bermain lebih 80 minit dengan 10 pemain tetapi keadaan Son Heung-min mencetus kebimbangan kepada pasukan utara London itu.
Kehilangan Radu Dragusin tidak menjadi penghalang buat pasukan Ange Postecoglou, yang melakar kemenangan di Stadium Tottenham Hotspur hasil jaringan Brennan Johnson, Pape Sarr dan Dominic Solanke.
Namun, situasi di mana penyerang Korea Selatan, Heung-min terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 membimbangkan Postecoglou yang tidak mampu kehilangan kaptennya untuk jangka masa yang lama.
“Dia berkata dia agak letih tetapi saya belum bercakap dengannya atau dengan kakitangan perubatan lagi,” kata Postecoglou.
Kehadiran Heung-min, Liga Europa boleh menawarkan laluan untuk mereka menjulang piala bersama Postecoglou yang mengakui bahawa dia sentiasa menikmati kejayaan pada musim keduanya ketika dia berusaha menamatkan kemarau trofi Tottenham sejak 2008.
Ujian getir menanti Tottenham tetapi mereka memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan selepas aksi ditunda selama 37 minit kerana Qarabag terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akhirnya bermula.
“Saya tidak berpuas hati kerana saya rasa kami bermula dengan sangat lemah. Seolah-olah kelewatan itu memberi kesan kepada kami.
“Reaksi selepas kad merah itu bagus. Kami terus menekan dengan tinggi, ” kata Postecoglou.
Tottenham tidak terjejas sekalipun beraksi 10 pemain selepas hanya lapan minit apabila pertahanan Romania, Dragusin dibuang padang kerana menjatuhkan Juninho ketika dia meluru untuk menjaringkan gol. – AFP