
PETRA JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar mencabar Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng membawa cadangan berhubung pemberian status Bumiputera kepada masyarakat Cina generasi ketiga di Sarawak ke Dewan Rakyat bagi melihat sejauh mana sokongan mampu diperoleh.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Julau itu boleh menjadikan perkara tersebut sebagai satu ‘litmus test’ untuk mengukur sokongan terhadap usul berkenaan di peringkat Parlimen.
“Datuk Larry Sng boleh membawa logik yang kompleks ini ke Dewan Rakyat sebagai satu ‘litmus test’ dan membuktikan sejauh mana sokongan yang boleh diperoleh terhadap usul tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas cadangan Larry berhubung isu status Bumiputera bagi masyarakat Cina generasi ketiga di Sarawak.

Asfia bagaimanapun menegaskan kedudukan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan serta dilindungi menerusi pelbagai undang-undang sedia ada.
Katanya, perkara tersebut diperuntukkan di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan selain turut melibatkan Artikel 161A, Artikel 161E dan Artikel 8.
Menurut beliau, sebarang pindaan melibatkan hak Bumiputera memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen Persekutuan selain persetujuan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
“Jika melibatkan hak orang Melayu dan Bumiputera, persetujuan Raja-Raja Melayu serta Majlis Raja-Raja perlu diperoleh terlebih dahulu.
“Kegagalan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen bersama persetujuan Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong akan menyebabkan usaha itu menjadi sia-sia dan tidak sah,” katanya.
Tambah beliau, perlindungan terhadap hak Bumiputera Sabah dan Sarawak turut diperkukuhkan melalui Ordinan Tafsiran 2005 (Pindaan) 2005 selain kuasa kawalan status pribumi oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Adat Istiadat di bawah Ordinan Mahkamah Bumiputera.
Dalam pada itu, Asfia berkata masyarakat Bumiputera di Sarawak bukan bersifat perkauman dan hubungan erat antara masyarakat Cina serta Bumiputera di negeri ini telah lama terjalin.
Katanya, ramai pemimpin masyarakat Cina di Sarawak mendapat sokongan masyarakat Bumiputera dalam pilihan raya negeri dan Parlimen.
Oleh Shahrul Qaizat