PANTU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berharap Ketua Kaum bersikap tegas dalam memberi sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata, sikap tegas itu penting supaya anak-anak buah mengetahui pendirian pemimpin terhadap pentadbiran negeri dan masa depan pembangunan rumah panjang.
“Seseorang pemimpin peringkat akar umbi tidak harus mudah beralih arah sokongan kerana ia secara tidak langsung boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Jangan biarkan perkara ini berlaku dalam kalangan rakyat pimpinan kita. Bertegaslah terhadap pendirian sokongan kita kepada pucuk pimpinan GPS,” katanya merasmikan Program Randau@Begunan di Rumah Lani, Empelanjau Asal di sini.
Justeru, beliau menasihati ketua kaum dan ketuamasyarakat supaya menjalankan tugas dengan baik untuk rakyat.
Caranya kata beliau, adalah dengan memantau kebajikan hidup rakyat dan mengintai program pembangunan kerajaan yang boleh dibawa ke penempatan mereka.
“Ketua Kaum seperti Tuai Rumah misalnya haruslah rajin menghadiri mesyuarat di Pejabat Daerah di samping mengemaskini data dan profil kampung untuk kegunaan agensi kerajaan berkaitan.
“Lakukanlah ini demi memantapkan sosioekonomi rakyat. Bentukan jambatan antara kampung, agensi kerajaan dan wakil rakyat jika mahu memantapkan lagi proses pembangunan di kawasan masing-masing,” kata beliau.
Mong pada program itu menyerahkan cek peruntukan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM103,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita di sini.
JKKK Rumah Lani, Empelanjau Asal menerima cek bernilai RM15,000 dengan Biro Wanitanya pula menerima cek bernilai RM5,000.
Manakala itu JKKK Rumah Nimong, Empelanjau Atas menerima cek bernilai RM10,000 dengan cek bernilai RM4,000 lagi diserahkan kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan.
JKKK Rumah Dohan, Empelanjau Batu Ilau pula menerima cek bernilai RM5,000 dengan Mong pada program itu turut menyerahkan cek bernilai RM3,000 kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan.
Beliau pada program itu turut mengumumkan peruntukan projek Program Transfomasi Luar Bandar (RTP) DUN Bukit Begunan 2021 bernilai RM150,000 kepada JKKK Rumah Lani dan RM150,000 kepada JKKK Rumah Nimong.
Oleh Valentine Ngumbang