KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperketat kawalan pengagihan bahan api bersubsidi kepada nelayan bagi memastikan bantuan kerajaan itu sampai kepada golongan yang layak dan tidak berlaku ketirisan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, kawalan ketat itu penting berikutan nilai subsidi yang tinggi, khususnya diesel yang diperuntukkan kepada nelayan di Sarawak sebanyak kira-kira tujuh juta liter sebulan.
Katanya, nelayan menikmati harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter berbanding harga diesel di pam ketika ini RM3.27 seliter.
“Subsidi ini amat tinggi, sebab itulah pihak kerajaan amat mengambil berat berkenaan subsidi bahan api ini untuk nelayan supaya ia tidak disalahgunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Ops Tiris 3.0 Bersepadu di Pusat Jualan Diesel (PJD) LKIM, Tanjung Bako, di sini, hari ini.
Menurut Fuziah, LKIM menggunakan aplikasi MyMinyak bagi memantau pengagihan kuota bahan api kepada nelayan, termasuk memastikan jumlah pembelian tidak melebihi kuota yang ditetapkan bagi setiap bot.
Selain itu, katanya, sistem pengecaman wajah turut digunakan bagi memastikan hanya penerima yang layak dapat membeli bahan api bersubsidi.

“Prosedurnya amat ketat untuk memastikan subsidi kerajaan yang diberikan itu digunakan dengan sebaik-baiknya.
“Kita juga lihat bekalan diesel terus dimasukkan ke dalam vesel dan tidak boleh menggunakan kontena atau bekas lain bagi memastikan tidak berlaku ketirisan sepanjang rantaian bekalan,” katanya.
Fuziah berkata, kuota diesel dan petrol bagi nelayan ditentukan LKIM berdasarkan kapasiti enjin bot serta permohonan yang dibuat, dengan jumlah kuota antara 500 hingga 17,000 liter sebulan.
Beliau berkata, seramai 4,437 penerima diesel dan petrol nelayan di Sarawak ketika ini melibatkan bot Zon A, B dan C.
Dalam pada itu, Fuziah berkata KPDN turut menjalankan siasatan berdasarkan maklumat daripada orang awam atau pemberi maklumat sekiranya terdapat dakwaan berlaku ketirisan bahan api membabitkan nelayan.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, terdapat 10 kes ketirisan berkaitan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) di seluruh negara, termasuk tiga kes di Sarawak.
“Kesemua kes ini sudah pun selesai. Bagi tiga kes di Sarawak, nilai rampasan ialah RM35,000 manakala nilai kompaun RM67,000,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara KPDN dan LKIM, termasuk perkongsian maklumat serta data, penting bagi memperkukuh pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap ketirisan subsidi.
Fuziah turut menjelaskan bahawa penggunaan bekas bahan api (jerrycan) bagi pembelian petrol dibenarkan kerana petrol dibeli di pam, namun nelayan perlu mempunyai permit khas bagi tujuan berkenaan.
Ops Tiris 3.0 Bersepadu itu merupakan kerjasama pelbagai agensi dalam memastikan pematuhan terhadap kawalan bekalan bahan api bersubsidi, termasuk kepada golongan nelayan.
Oleh Afiq Sallehi



