KUCHING: Seramai 6,500 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara bakal menerima manfaat menerusi Program RYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata program berkenaan merangkumi 133 Program Sihat Warga Emas, 133 Program Terapi OKU serta enam siri latihan berkaitan penjagaan warga emas dan terapi OKU.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1.995 juta diperuntukkan bagi Program Sihat Warga Emas, RM1.995 juta untuk Program Terapi OKU manakala RM1.01 juta lagi bagi pelaksanaan enam siri latihan seminar penjagaan warga emas dan terapi OKU.
“Program RYTHM ialah satu kerjasama yang menggembleng tenaga belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada pelbagai bidang kepakaran seperti perubatan, kejururawatan, terapi, pemulihan cara kerja dan pemulihan anggota untuk meningkatkan kesejahteraan OKU.
“Penglibatan para pelajar melalui kepakaran yang dimiliki dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar di institusi kebajikan dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), di samping memberikan pengalaman lapangan yang amat bernilai kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program RYTHM- Ritma Kehidupan Harmoni, Program Sukarelawan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT): Belia Dalam Perkhidmatan Kebajikan – Program Terapi OKU Bahagian Kuching di i-CATS University College, di sini, hari ini.
Nancy berkata, bagi Sarawak sahaja, sebanyak 12 Program Sihat Warga Emas dilaksanakan dengan peruntukan RM180,000, manakala 10 Program Terapi OKU membabitkan peruntukan RM150,000.

Selain itu, RM92,500 diperuntukkan bagi pelaksanaan latihan seperti seminar penjagaan dan terapi OKU serta seminar penjagaan dan terapi warga emas di negeri ini.
Menurutnya, Program RYTHM Fasa 2 yang melibatkan kos RM75,000 dilaksanakan di empat bahagian iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
“Program RYTHM Fasa 1 telah berjaya dilaksanakan pada Mei lalu di Betong dan Kuching dengan kerjasama JKM Sarawak dan Kementerian Belia dan Sukan.
“Kejayaan Fasa 1 ini menjadi asas kepada kesinambungan Program RYTHM melalui Fasa 2 dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi pula dengan tumpuan khusus kepada golongan OKU,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan di Kuching selama dua hari memberi peluang kepada mahasiswa memahami golongan OKU menerusi sesi perkongsian berkaitan pendekatan menyantuni, hak, keperluan serta perkhidmatan untuk golongan berkenaan.
Pada hari kedua, mahasiswa berpeluang berinteraksi secara langsung bersama pelatih PPDK menerusi pelbagai aktiviti termasuk aktiviti suai kenal, latihan litar, pencarian harta karun dan terapi seni.
Nancy berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental, malah memupuk empati, kerjasama, kesukarelawanan serta keyakinan diri dalam kalangan peserta.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited memastikan kesinambungan program berkenaan dengan sokongan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan serta sektor swasta.
“Saya berharap program ini terus berkembang sebagai wadah yang membuka lebih banyak peluang serta manfaat kepada golongan OKU,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat




