SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan platform politik satu-satunya membela hak dan keistimewaan Sarawak di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, manakala yang lain adalah tertakluk kepada kehendak pemimpin parti mereka yang bukan berpangkalan di Sarawak.
“Tanggapan bahawa Sarawak meletakkan pembangkang di Parlimen untuk memperjuangkan Sarawak atau “membuat bising” adalah satu tanggapan yang salah, lebih-lebih lagi sekarang GPS boleh bercakap secara bebas untuk bersetuju mengenai apa yang baik untuk Sarawak dan tidak bersetuju jika merugikan,” jelasnya.
Premier berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Majlis Jamuan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak,Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Datuk Patinggi Abang Johari berkata, GPS telah membuat beberapa pencapaian untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada semangat MA63.
Katanya, Meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status sama rata dengan Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia sebagai pihak dalam pembentukan Malaysia.
“Antaranya ialah hak minyak dan gas yang membawa kepada perjanjian penyelesaian komersial (CSA) dan kawalan penuh untuk minyak dan gas darat; pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan SST seperti yang diberikan oleh Mahkamah; hak pengagihan gas kepada Sarawak; hak pelesenan perikanan laut dalam dan lain-lain,” ujarnya.
Premier Sarawak juga berkata, keputusan memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas menunjukkan masyarakat Cina di Sarawak mampu bersatu sebagaimana ‘Anak Sarawak’.
“Atas sokongan semua pihak, saya dapat melantik Dato Sri Dr Sim Kui Hian sebagai Timbalan Premier Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Fatimah dalam ucapannya berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.
“Antaranya ialah Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Endowment Fund Sarawak (EFS), Geran Tahunan Khas (GTK), Kenyalang Gold Card (KGC) dan banyak lagi.
“Semua permohonan dan bantuan ini boleh dilakukan secara dalam talian dengan memuat turun aplikasi iSarawakCare yang boleh didapati di Google Play Store atau Apple App Store. Anda juga boleh melayari https://isarawakcare.sarawak.gov.my untuk maklumat lanjut,” ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dato Sri Tiong King Sing memperuntukkan RM50,000 kepada UCA dan masing-masing RM10,000 kepada unit wanita dan belia.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang, Presiden UCA Sibu, Lau Ing Siong dan Pengerusi Penganjur Hii Yik Ping.
Oleh AKUN GIMAN